CHENNAH – Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kedudukan orang Melayu, Islam dan institusi Raja-Raja Melayu kekal menjadi asas pentadbiran negara serta tidak pernah dipertikaikan di bawah kerajaan Madani.
Beliau berkata, segala dakwaan kononnya kerajaan hari ini mengabaikan kepentingan orang Melayu atau menghakis kedudukan Islam hanya naratif politik yang tidak berlandaskan fakta.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak negara.
“Orang Melayu merupakan majoriti rakyat negara ini. Raja negara ini ialah Raja Melayu. Hak orang Melayu dan Bumiputera dijamin oleh Perlembagaan.
“Bahasa rasmi ialah bahasa Melayu. Islam ialah agama Persekutuan. Semua itu tidak ada pertikaian,” katanya ketika berucap pada program Minum Petang Bersama Perdana Menteri di Kampung Simpang Durian hari ini.
Anwar berkata, mempertahankan kedudukan Melayu dan Islam tidak bermaksud hak kaum lain boleh diketepikan kerana kekuatan Malaysia terletak pada kemampuan kerajaan menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengorbankan asas negara.
Katanya, kerajaan Madani akan terus mempertahankan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, namun pada masa sama memastikan setiap rakyat tanpa mengira kaum menerima layanan yang adil.
“Kita mesti rangkul semua. Kita jaga orang Melayu, kita jaga orang Cina, kita jaga orang India, kita jaga Orang Asli, kita jaga masyarakat Iban dan Kadazan.
“Itulah tanggungjawab kerajaan. Kalau kita hanya jaga satu kaum dan abaikan yang lain, negara tidak akan kuat,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan bermaksud mengurangkan hak mana-mana kaum, sebaliknya memastikan setiap rakyat mendapat peluang menikmati pembangunan, pendidikan, kemudahan asas dan pembelaan sewajarnya.
Menurutnya, kerajaan juga tidak akan berkompromi dalam soal memilih pemimpin yang diberi amanah mentadbir negara.
Anwar berkata, ukuran sebenar kepimpinan bukan terletak pada kaum atau latar belakang seseorang, tetapi kepada integriti, kejujuran dan kesediaan berkhidmat kepada rakyat.
“Kalau saya hendak pilih wakil Orang Asli, saya pilih yang terbaik. Kalau saya hendak pilih pemimpin Melayu, saya pilih orang Melayu yang baik, yang amanah bukan yang apabila ada kuasa sedikit terus ambil tanah, ambil balak dan salah guna kuasa,” katanya.
Beliau berkata, budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa merupakan musuh sebenar negara kerana ia merugikan semua rakyat tanpa mengira bangsa.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah dipengaruhi naratif yang memainkan sentimen kaum dan agama menjelang pilihan raya, sebaliknya menilai rekod pentadbiran serta kemampuan sesebuah kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.
“Yang penting ialah negara ini aman, ekonomi berkembang dan semua rakyat dapat hidup dengan baik tanpa mengira kaum atau agama, sambil asas Perlembagaan terus dihormati dan dipertahankan,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment