KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menyifatkan dakwaan calon Pakatan Harapan (PH), Onn Abu Bakar yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang bahawa gabungan itu mampu membangunkan Johor seperti Selangor dan Pulau Pinang sebagai tidak berasaskan fakta.
Beliau berkata, kenyataan itu juga menimbulkan persoalan kerana prestasi ekonomi Johor ketika ini mengatasi kedua-dua negeri berkenaan berdasarkan data rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurutnya, Johor merekodkan pertumbuhan KDNK tertinggi di negara ini iaitu lapan peratus, berbanding Pulau Pinang sebanyak 7.3 peratus dan Selangor 6.3 peratus.
“Apabila saya baca kenyataan itu, saya tertanya-tanya juga. Johor kini berada di kedudukan nombor satu dengan pertumbuhan KDNK dengan lapan peratus.
“Kalau nak jadikan Johor seperti Pulau Pinang atau Selangor, kenapa pula hendak turunkan negeri ini ke tangga kedua atau ketiga?” katanya dalam satu hantaran video di media sosial, hari ini.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, Onn berkata gabungan PH mampu membawa pembangunan lebih menyeluruh di Johor berdasarkan pengalaman mentadbir Selangor dan Pulau Pinang.
Menurut Ahli Parlimen Batu Pahat itu, rekod pentadbiran PH di Selangor dan Pulau Pinang membuktikan keupayaan gabungan itu mengurus negeri dengan baik serta memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira negeri asal mereka.
Dalam pada itu, Dr Akmal berkata, angka pertumbuhan ekonomi itu merupakan data rasmi yang dikeluarkan agensi berwibawa dan bukannya direka oleh mana-mana pihak berkepentingan.
Justeru, beliau mengingatkan semua pemimpin politik supaya membuat kenyataan berdasarkan fakta agar tidak mengelirukan rakyat.
“Sebelum membuat kenyataan, keluarkan fakta (yang betul). Barulah rakyat boleh menilai kita bercakap berdasarkan data, bukannya sekadar retorik,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat Johor terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana negeri itu kini muncul sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi negara di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Hari ini Johor mendahului semua negeri di Malaysia. Sebab itu rakyat perlu kekalkan BN supaya momentum pembangunan dan pertumbuhan ekonomi ini dapat diteruskan,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment