Presidennya, Zamani Ibrahim berkata BERJASA sejak dari awal tidak meletakkan keutamaan parti tetapi penyatuan orang Melayu untuk membentuk kerajaan.
“Kita di BERJASA masih membawa wajah penyatuan. Kita mengharapkan di sana akan terbentuknya satu kerajaan yang didominasi orang Melayu.
“Kita bukan membawa wajah parti. BERJASA memang dari awal lagi bercakap tentang penyatuan Melayu. Kita mengharapkan dominasi kuasa Melayu.
“Ia akan terbentuk di Johor oleh kerana saya melihat di Johor juga ada jentera BERJASA. Saya tidak mahu mereka hanya menjadi pemerhati sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara khas bersama TV Pertiwi mengulas pengumuman tarikh penting PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, BERJASA mempunyai pengalaman luas membantu calon pilihan raya dan mengetuai Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang diamanahkan.
“Setakat ini kita akan bantu calon PAS untuk mana-mana kerusi yang mereka bertanding sebagai memperkukuhkan dan meramaikan jentera pilihan raya.
“Daripada awal PRK termasuk di Nenggiri, semuanya kita terlibat sebanyak tujuh PRK pada sebelum ini. Kita memberikan komitmen untuk menurunkan jentera.
“Bagi saya membantu parti yang selari dengan BERJASA, bukan kerugian tetapi itulah peluang BERJASA untuk menyumbang demi penyatuan orang Melayu,” katanya.
Ditanya tentang penglibatannya dalam PRN Negeri Sembilan, Zamani berkata sasaran kerusi yang ditandinginya adalah majoriti anak muda.
Katanya, suara anak muda memberikan pengaruh yang signifikan dalam pembangunan negara dan kehendak mereka tidak wajar dipinggirkan.
“Saya akan masuk di kerusi yang ramai pengundinya anak muda. Itu sasaran saya. Saya sudah menganalisa tetapi belum lagi muktamad.
“Saya hendak cari kerusi pengundinya adalah anak muda. Sebab saya hendak bawa wadah anak muda mesti ada pemikiran mengembalikan kuasa dominasi orang Melayu.
“Sebab saya bimbang anak muda hari ini tidak suka berparti, tidak suka isu perebutan kuasa dan tidak kisah siapa pun yang naik,” katanya.
Zamani berkata generasi muda perlu diberikan kesedaran tentang kuasa dominasi politik Melayu dan kepentingan sebagai tuan tanah.
Katanya, generasi muda tidak boleh terus dibiarkan terasing dalam wadah politik nasional dengan menekankan isu-isu yang tidak penting.
“Saya hendak bawa wajah anak muda itu kepada wajah kita perlu memperjuangkan kuasa dominasi dan anak muda mesti terlibat bersama dalam merebut kuasa.
“Sebab merebut kuasa melalui pilihan raya adalah sesatu yang diizinkan secara demokrasinya. Bagi saya tidak ada masalah untuk saya kempen bermati-matian.
“Ia bagi memahatkan dalam kepala anak muda, mereka mesti sedar bahawasanya kita tuan tanah, kitalah generasi selepas ini yang akan menjulang negara,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment