NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zaid sertai Pas untuk perbetul persepsi parti ekstrem



SEREMBAN – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim berkata beliau mahu membantu memperbetulkan persepsi yang melabelkan Pas sebagai sebuah parti ekstrem dan anti-demokrasi yang tidak sesuai untuk Malaysia yang berbilang kaum.

Menurutnya, beliau percaya Pas mempunyai kekuatan serta iltizam untuk membawa perubahan kepada negara berasaskan prinsip keadilan yang menjadi teras ajaran Islam.


“Saya akan membalas kepercayaan yang diberikan dengan bekerja bersungguh-sungguh untuk memperbetulkan persepsi bahawa Pas adalah parti ekstrem dan anti-demokrasi yang tidak sesuai untuk Malaysia yang majmuk.

“Sebaliknya, saya melihat Pas sebagai satu-satunya parti majoriti Melayu yang mempunyai kekuatan dan tekad untuk menghapuskan ketidaksamaan, dominasi kelompok tertentu serta layanan berasaskan kelas dalam masyarakat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Tambah beliau, prinsip keadilan yang menjadi teras Islam perlu dijadikan panduan utama dalam pentadbiran negara bagi memastikan semua rakyat menerima layanan yang adil dan saksama.


Menurutnya, di bawah pemerintahan berteraskan prinsip tersebut, tidak seharusnya wujud keadaan di mana semua rakyat dianggap sama rata tetapi terdapat pihak tertentu yang menikmati kelebihan melebihi orang lain.


Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pimpinan tertinggi Pas yang menerima kemasukannya ke dalam parti itu dengan penuh keterbukaan.

“Saya berterima kasih atas sambutan yang diberikan oleh pimpinan tertinggi Pas. Mereka menerima saya dengan penuh mesra, ikhlas dan terbuka,” ujarnya.

Mengulas mengenai hala tuju politik negara, Zaid berkata beliau percaya Pas berpotensi membentuk kerajaan bersama ahli-ahli Parlimen yang berkongsi aspirasi sama selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya, gabungan itu mampu menawarkan pentadbiran yang lebih adil serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.


Malam tadi, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan penyertaan 15 tokoh baharu ke dalam parti itu ketika Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan di Markas Pas Kawasan Seremban.

Antara nama yang diumumkan ialah bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan dan bekas ADUN Ampangan, Datuk Dr Rafie Abdul Malek; bekas Exco Kerajaan Perak dan bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Othman; bekas Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakup; serta bekas Pengerusi Kelab UMNO Manchester, Dr Md Nizam Baharom.

Pengumuman itu turut menyaksikan beberapa lagi tokoh daripada pelbagai latar belakang politik dan profesional menyertai Pas, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan baharu yang diumumkan malam tadi seramai 15 orang. -MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo