SEREMBAN – Datuk Seri Hamzah Zainudin sememangnya menjadi pilihan awal Pas untuk terus dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang berikutan prestasi beliau yang baik serta sokongan yang diterimanya dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan, hasrat untuk mengekalkan Hamzah sebenarnya telah wujud sejak awal lagi apabila ramai Ahli Parlimen pembangkang berpandangan beliau berjaya memainkan peranan berkesan sebagai Ketua Pembangkang.
Menurutnya, Pas berpandangan Hamzah merupakan individu paling sesuai untuk meneruskan peranan tersebut berdasarkan pengalaman dan prestasinya di Dewan Rakyat.
“Sebenarnya daripada awal lagi kita mahu mengekalkan Hamzah kerana prestasi beliau dan ramai Ahli Parlimen yang bersama beliau.
“Apabila semua parti bersama dengan kita ketika itu, kita fikir kita teruskan mengekalkan beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan di Markas Pas Kawasan Seremban, di sini malam ini.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, cadangan berkenaan tidak dapat diteruskan pada peringkat awal kerana Bersatu tidak begitu selesa dengan kedudukan Hamzah ketika beliau masih berada dalam parti tersebut.
Menurutnya, keadaan itu berubah selepas Hamzah dipecat daripada Bersatu sekali gus membuka ruang kepada parti-parti pembangkang untuk mempertimbangkan semula kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang.
“Cuma ketika itu Bersatu tidak begitu selesa.
“Bila Hamzah sudah dipecat daripada Bersatu dan membawa wadah baharu, maka kita melihat tidak ada masalah untuk mengekalkan beliau,” ujarnya.
Beliau berkata, keputusan untuk mengekalkan Hamzah dibuat selepas mengambil kira pelbagai pandangan daripada parti-parti yang bersama dalam blok pembangkang selain melihat keperluan untuk memastikan kepimpinan pembangkang kekal mantap di Parlimen.
Katanya, proses perbincangan itu turut melibatkan penelitian terhadap pandangan pelbagai pihak sebelum persetujuan dicapai secara bersama.
Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Ketua Pembangkang susulan perubahan dalam landskap pembangkang selepas Hamzah dipecat daripada Bersatu.
Bagaimanapun, pada Konvensyen RESET Pembangkang yang berlangsung di Kelantan hari ini, Hamzah diumumkan kembali sebagai Ketua Pembangkang selepas mendapat persetujuan parti-parti pembangkang. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment