JOHOR BAHRU – Projek-projek kerajaan tidak sepatutnya dijadikan platform untuk mana-mana parti politik meraih publisiti atau menonjolkan diri.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah menegaskan, projek-projek kemudahan awam dan infrastruktur di negeri ini bukan milik mana-mana parti politik.
“Projek-projek utama seperti projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), Perkhidmatan Tren Elektik (ETS) serta KTM Komuter Selatan mempunyai kepentingan besar kepada rakyat Johor dan kerajaan negeri tidak boleh dianggap sebagai pihak sampingan.
“Projek kerajaan bukan hak eksklusif mana-mana parti. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada keberhasilan projek dan manfaat kepada rakyat, bukannya perlumbaan mendapatkan publisiti politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru katanya, UMNO Johor menggesa semua pihak berhenti mengutip kredit politik terhadap projek kerajaan serta menghormati kedudukan kerajaan negeri sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan projek pembangunan yang melibatkan kerajaan Persekutuan.
Jelasnya, isu yang dibangkitkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini bukan mengenai kehadiran ke sesuatu majlis rasmi, sebaliknya berkaitan aspek penyelarasan, profesionalisme dan penghormatan terhadap institusi kerajaan negeri.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak pernah menolak kerjasama dengan kerajaan Pusat malah sentiasa memberikan komitmen terhadap pelbagai program dan projek demi kepentingan rakyat.
“Rekod jelas menunjukkan kerajaan negeri sentiasa hadir, membantu dan menyokong pelaksanaan projek strategik termasuk yang berada di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan.
“Justeru, adalah tidak wajar untuk menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri enggan bekerjasama atau tidak memberikan sokongan terhadap usaha kerajaan Persekutuan,” katanya.
Md Israk berkata, pemberian jemputan rasmi pada saat akhir bagi program berimpak tinggi yang melibatkan negeri itu turut menimbulkan persoalan mengenai tahap penyelarasan antara kedua-dua pihak.
Beliau berkata, perkara itu seharusnya tidak berlaku sekiranya semangat kerjasama yang tulen benar-benar diamalkan oleh semua pihak.
Menurut Md Israk, rakyat Johor kini semakin matang dalam menilai kepimpinan dan mampu membezakan antara pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat dengan mereka yang lebih gemar berpolitik menggunakan pentas projek kerajaan.
Tambahnya, UMNO Johor akan terus mempertahankan prinsip bahawa hubungan antara kedua-dua kerajaan Pusat dan negeri itu perlu diasaskan atas semangat saling menghormati, profesionalisme dan keikhlasan demi kepentingan rakyat Johor.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment