JOHOR BAHRU – Ketegasan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang tidak mahu ‘duduk semeja’ dengan DAP membuktikan Menteri Besar Johor itu seorang pemimpin yang berprinsip sekali gus menolak sindiran mengenai istilah UMDAP.
Ketua 1 Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Md Ali Hanafiah berkata, para pemimpin DAP dilihat kurang memahami makna frasa ‘duduk semeja’ apabila mengaitkannya dengan Presiden UMNO yang duduk bersebelahan semasa mesyuarat kerajaan Persekutuan.
“Ada juga pemimpin DAP yang menunjukkan gambar Datuk Onn Hafiz menyampaikan cenderamata sebagai hujah mereka.
“Menurut laporan beberapa media hari ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengaitkan jemputan kepada Datuk Onn Hafiz untuk menghadiri program kementeriannya di Kulai pada hari Selasa hadapan dengan ‘duduk sebelah’ beliau.
“Justeru, frasa Bahasa Melayu ‘duduk semeja’ perlu difahami terlebih dahulu sebelum mengkritik Datuk Onn Hafiz mengenai pendiriannya yang tidak mahu menjadi Menteri Besar Johor sekiranya perlu duduk semeja dengan DAP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rakyat yang menjunjung Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu memahami sesuatu maksud sebelum memberikan tafsiran yang dilihat terkeluar daripada konteks asal.
Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mempelawa Onn Hafiz menaiki komuter bersamanya di program di bawah Kementerian Pengangkutan di Johor pada Selasa depan.
Jemputan sebagai Menteri Pengangkutan itu dipercayai susulan kenyataan Onn Hafiz yang mendakwa lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP semasa pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) pada Ahad lalu.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment