KUANTAN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meletakkan calon di 16 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dan sekurang-kurangnya 20 daripada 56 kerusi DUN Johor pada Pilihan raya Negeri (PRN) di kedua-dua negeri itu kali ini.
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Fuziah Salleh, keputusan itu telah dipersetujui dalam kalangan semua parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).
“Pengagihan calon untuk 56 kerusi DUN Johor itu sudah dipersetujui antara parti komponen, tiada gaduh-gaduh. Ada kerusi A, kerusi B,” katanya.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata demikian ketika sidang media selepas Majis Perasmian Program Jualan Rahmah Madani sempena pembukaan baharu Pantai Selamat Seindah di Bandar Kuantan Putri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut situasi politik di Johor, beliau berkata, PKR optimis akan menerima undi yang tinggi pada PRN kali ini berdasarkan kajian dan pemerhatian ketika pertandingan pada pilihan raya lepas.
“PRN Johor tahun 2022 jauh berbeza berbanding situasi PRU-15. Apa yang berlaku ketika itu (PRN), PH tidak dapat banyak kerusi, tapi undi PH pada PRU-15 jauh beza. Kita rasa, rakyat pada hari ini matang.
“Mungkin pada tahun 2022 ketika itu masih era Covid-19 di mana ramai rakyat yang berada di Singapura tak dapat balik. Disebabkan itu, saya yakin kali ini voters turnout akan tinggi dan akan memihak kepada PH,” katanya.
Ketika diminta mengulas jika terdapat kebimbangan parti berkaitan kewujudan parti baru oleh bekas pemimpin berpengaruh PKR iaitu Rafizi Ramli dan Nik Nazmi, Fuziah berkata situasi itu harus dilihat sebagai meraikan demokrasi di negara ini.
Katanya, banyak negara lain yang lebih demokratik ketika ini turut mengalami perkara sama iaitu pertembungan banyak parti politik baik di peringkat pusat, mahupun di peringkat negeri.
“Malaysia sebelum ini begitu lama mengamalkan satu parti sahaja. Ia berubah pada tahun 2008 apabila ada pecahan dan memberikan cabaran dan saingan kuat kepada parti memerintah ketika itu. Jadi, tak hairan ia berlaku di Malaysia.
“Cuma pesanan saya, berkempenlah secara sihat, bawa kebaikan yang boleh ditawarkan dan bukan menjatuhkan memburukkan parti lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment