BANGI, 30 ZULHIJJAH — Ahli Parlimen PKR menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti melaungkan reformasi selepas ia dilihat hanya retorik tanpa perubahan jelas.
Hassan Abdul Karim berkata laungan reformasi Perdana Menteri hanya membawa makna jika ia berjaya menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa.
“Tanya balik kepada Anwar, reformasi apa yang dilakukannya selama lebih tiga tahun sebagai Perdana Menteri? Tanyakan juga apa agenda reformasi yang tersangkut belum dilaksanakan?
“Anwar wajar bersikap adil kepada rakyat. Tidak cukup dan tidak adil hanya jerit-jerit slogan reformasi itu tanpa makna yang jelas.
“Reformasi hanya ada makna jika korupsi politik, rasuah ekonomi, rasuah salah guna kuasa dapat dihapuskan. Janji sahaja tidak cukup,” katanya kepada TV Pertiwi.
Beliau diminta mengulas keterujaan Anwar melaungkan reformasi semalam sambil mengangkat tangan yang mengundang kritikan warga maya.
Katanya, laungan reformasi sahaja tidak memadai dan pelaksanaan untuk membasmi rasuah wajar menjadi keutamaan selepas tiga tahun Anwar menjadi Perdana Menteri.
“Cara penyelesaiannya ada beberapa. Tetapi yang penting laksanakan pemisahan kuasa jawatan Perdana Menteri daripada jawatan Menteri Kewangan.
“Jika Anwar jujur dan serius hendak laksanakan reformasi, maka janji kepada rakyat kalau beliau menang pilihan raya, maka beliau akan jadi Perdana Menteri sahaja.
“Manakala jawatan Menteri Kewangan dipegang oleh orang lain,” katanya menuntut Anwar mengotakan reformasi melalui pindaan undang-undang di Parlimen.
Hassan berkata Anwar perlu berjanji untuk membentang rang undang undang pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memisahkan kuasa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Katanya, jika pendekatan itu dilaksanakan maka segala slogan reformasi yang dilaungkan Anwar akan membawa erti kepada rakyat.
“Jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak boleh dipegang oleh orang yang sama. Perubahan sebegini barulah boleh disebut reformasi.
“Kena bersikap adil juga kepada Anwar. Biarlah beliau habiskan mandatnya sebagai Perdana Menteri selama lima tahun sehingga Parlimen wajib dibubarkan,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment