ISKANDAR PUTERI - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menolak untuk kerjasama dengan DAP dan sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya keadaan itu berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, realiti politik di negeri itu berbeza di peringkat Persekutuan apabila kerjasama BN khususnya UMNO dan DAP tidak pernah terjalin selama ini.
"Apabila kerajaan negeri ditubuhkan semula dengan perkenan Sultan Johor dan pemangku Sultan Johor, sekiranya rakyat memberikan mandat kepada BN untuk memimpin sekali lagi, kita tidak akan sesekali bersama DAP dalam kerajaan negeri.
"Saya lebih rela tidak memegang jawatan Menteri Besar daripada perlu duduk semeja dengan mereka. Ini semangat Johor, Bangsa Johor," katanya.
Onn Hafiz berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity di sini pada Ahad.
Menteri Besar Johor itu berkata, pendirian tersebut bukan didorong sentimen perkauman seperti didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, katanya, masyarakat berbilang kaum di Johor hidup sebagai sebuah keluarga di bawah identiti Bangsa Johor.
"Jentera BN perlu terus memberikan penjelasan kepada rakyat supaya kekeliruan yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab dapat dipatahkan.
"BN Johor tidak pernah duduk semeja dengan DAP.
"Yang saya ingat pernah duduk semeja dengan DAP ialah Menteri Besar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jadi tolong ingatkan mereka," katanya lagi.
Onn Hafiz turut menjelaskan keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Isnin lalu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kebajikan rakyat dan kestabilan pentadbiran negeri.
Menurutnya lagi, tempoh yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya semakin terhad memandangkan Ramadan dan Aidilfitri bakal berlangsung pada Februari dan Mac tahun depan, selain musim tengkujuh yang berlaku antara November hingga Januari.
"Orang di luar mungkin tidak tahu kerana mereka tidak biasa turun ke Johor.
"Tambah lagi dengan keadaan geopolitik di Asia Barat, Selat Hormuz masih ditutup, kita memerlukan kerajaan negeri yang lebih stabil bagi memastikan Johor terus bergerak maju," ujarnya.
Onn Hafiz yang juga Pengarah Operasi PRN Johor berkata, BN menyasarkan kemenangan dengan majoriti lebih besar berbanding yang dicapai pada PRN 2022.
"Saya mahu memastikan momentum kemenangan BN Johor dapat diteruskan. bukan sahaja menang, malah menang dengan majoriti yang lebih membanggakan.
"Saya tahu perkara ini tidak akan datang bergolek, kita perlu terus berusaha menyantuni rakyat daripada semua kaum di negeri ini," katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan pemberian Bantuan Kasih Johor (BKJ) termasuk fasa kelima sekiranya BN sekali lagi diberi mandat untuk mentadbir negeri.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment