NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN N. Sembilan: Akar umbi mahu DUN Temiang diserahkan kepada UMNO



SEREMBAN – Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, timbul desakan daripada sebahagian pemimpin dan akar umbi tempatan supaya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang diserahkan semula kepada UMNO bagi meningkatkan peluang Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi berkenaan.

Sumber memberitahu MalaysiaGazette, sentimen itu semakin kuat kerana ramai berpendapat formula lama perlu dinilai semula selepas beberapa siri kekalahan di kerusi tersebut.

Menurut sumber berkenaan, pandangan itu bukan bertujuan mengkritik MCA, sebaliknya mengambil kira realiti politik semasa dan faktor boleh menang calon di peringkat akar umbi.

“Secara umumnya, masyarakat tempatan masih menyokong BN dan UMNO, namun untuk menterjemahkan sokongan itu kepada undi buat calon MCA dilihat agak sukar.

“Jadi ramai berpendapat sudah tiba masanya kerusi ini dikembalikan kepada UMNO dan diwakili calon tempatan yang lebih dekat dengan pengundi,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu dilihat mampu meningkatkan peluang BN untuk kembali menjadi pencabar utama di DUN Temiang yang kini merupakan kubu kuat DAP.

“Ini bukan soal UMNO lawan MCA atau menafikan sumbangan parti itu dalam BN. Ia lebih kepada strategi kemenangan.

“Kalau matlamatnya adalah untuk merampas semula kerusi ini, maka pendekatan yang lebih realistik perlu dipertimbangkan,” soalnya lagi.

Berdasarkan data pilihan raya, DUN Temiang mempunyai 13,085 pengundi berdaftar setakat PRN 2023.

Kerusi itu mempunyai komposisi pengundi yang agak seimbang dengan pengundi Cina sekitar 44.6 peratus, diikuti Melayu 37.6 peratus, India 16.4 peratus dan lain-lain 1.4 peratus.

Sumber berkata, walaupun Temiang sering dianggap sebagai kerusi bandar yang mencabar, gabungan sokongan pengundi Melayu, India dan sebahagian pengundi Cina dilihat mampu memberi kelebihan kepada BN sekiranya strategi calon yang bersesuaian diperkenalkan.

Untuk rekod, DUN Temiang yang diwujudkan pada 1995 kini diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Ng Chin Tsai yang telah mempertahankan kerusi berkenaan sejak 2008.

Pada PRN 2023, Chin Tsai berjaya mengekalkan kerusi itu selepas memperoleh 5,710 undi dengan majoriti 3,068 undi, menewaskan calon Gerakan, Chang Er Chu dan calon MUDA, Ahmad Qusyairi Abdul Rahim.

Sumber berkata, walaupun Temiang sering dikaitkan sebagai kerusi tradisi MCA dalam pembahagian kerusi BN, perubahan landskap politik semasa memerlukan penilaian semula bagi memastikan gabungan itu kekal relevan dan berdaya saing.

“Akar umbi hanya mahukan satu perkara iaitu kemenangan BN. Sebab itu mereka mahu kerusi ini dipertimbangkan semula dan diserahkan kepada UMNO pada PRN kali ini.

“Jika BN benar-benar mahu merampas semula Temiang, suara di peringkat bawah juga perlu diambil kira,” tegasnya. -MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo