NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP hipokrit dalam isu pengagihan kad Komuter Madani – Gulam Muszaf



KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu mendakwa wujud sikap tidak konsisten dan hipokrasi dalam pendekatan Kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan program bantuan rakyat.

Ketuanya, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, ia susulan penularan rakaman video yang memaparkan orang ramai beratur panjang untuk mendapatkan Kad Komuter Madani bernilai RM50.

Beliau berkata, situasi tersebut mengingatkan kepada kritikan yang pernah dilemparkan pemimpin Kerajaan Madani terhadap pelaksanaan program bantuan oleh Kerajaan Negeri Johor sebelum ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini dilihat lantang mengkritik kaedah pengagihan Bantuan Kasih Johor menyebabkan rakyat terpaksa menunggu dan beratur panjang.

“Namun kini, apabila melibatkan program bantuan di bawah Kerajaan Madani, khususnya Kementerian Pengangkutan (MOT) yang diterajui komponen Pakatan Harapan (DAP), keadaan sama berlaku tetapi tidak pula dilihat sebagai satu masalah besar,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada rakaman video yang menunjukkan orang ramai beratur panjang bagi mendapatkan Kad Komuter Madani yang tular di media sosial Facebook sejak Selasa lalu.

Gulam Muszaffar juga menyifatkan keadaan itu sebagai bertentangan dengan naratif yang sering dibawa Kerajaan Madani mengenai penyampaian bantuan secara lebih sistematik dan mesra rakyat.

“Kerajaan tidak seharusnya mengamalkan standard berbeza dalam menilai pelaksanaan program bantuan kepada rakyat.

“Jika kaedah beratur panjang dianggap tidak sesuai ketika dilaksanakan pihak lain, maka prinsip yang sama perlu digunakan apabila melibatkan program kerajaan sendiri.

“Rakyat berhak mendapat layanan adil dan proses penyampaian bantuan lebih tersusun tanpa mengira siapa yang melaksanakannya,” katanya.

Beliau turut mendakwa tindakan mengkritik pihak lain tetapi membenarkan situasi sama berlaku dalam program sendiri hanya akan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Katanya lagi, percanggahan antara kenyataan dan pelaksanaan sebenar oleh pihak yang sebelum ini lantang mengkritik kaedah pengagihan bantuan kerajaan lain bagaikan ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

“Kerajaan Madani perlu lebih fokus kepada usaha memperbaiki sistem penyampaian bantuan berbanding menjadikan isu berkenaan sebagai bahan kritikan politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo