NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan berlindung di sebalik istana jawab kritikan politik, Mahfuz ingatkan Onn Hafiz



KUALA LUMPUR – Malum balas Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi terhadap teguran dan nasihat Perdana Menteri dengan mengaitkan peranan dan hubungan dengan institusi diraja disifatkan tidak wajar dalam konteks menjawab kritikan dan teguran politik.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, institusi Raja-Raja Melayu merupakan payung negara dan lambang perpaduan rakyat yang wajib dihormati oleh semua pihak.

Sehubungan itu, menurutnya, institusi yang begitu tinggi martabatnya tidak seharusnya dijadikan benteng atau perisai untuk mempertahankan kedudukan politik mana-mana individu.

Ujarnya, apa yang dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah persoalan politik, kepimpinan dan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Maka, tambahnya, jawapan yang sepatutnya diberikan juga mestilah berasaskan fakta politik, rekod pentadbiran dan sikap kepimpinan, bukannya dengan mengheret institusi istana ke dalam polemik politik semasa.

“Dalam sebuah sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, pemimpin politik perlu mempunyai keberanian untuk mempertahankan pendirian mereka sendiri.

“Jika ada dakwaan bahawa seseorang pemimpin bersikap sombong atau sukar bekerjasama, maka jawapan terbaik ialah membuktikan sebaliknya melalui tindakan, prestasi dan hubungan baik dengan rakan-rakan dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, rakyat hari ini cukup matang untuk menilai dan boleh membezakan antara penghormatan kepada institusi raja dengan pertanggungjawaban seorang ahli politik terhadap kenyataan dan tindakannya.

“Saya ingin menegaskan bahawa tidak ada sesiapa yang mempertikaikan kedudukan serta kebijaksanaan institusi diraja.

“Namun pada masa yang sama, ahli politik juga tidak boleh menggunakan kedudukan dan penghormatan rakyat terhadap institusi tersebut untuk mengelakkan diri daripada menjawab persoalan yang ditimbulkan dalam ruang politik,” katanya.

Menurutnya, pemimpin yang benar-benar kuat tidak memerlukan perlindungan politik daripada mana-mana institusi, sebaliknya berdiri atas kekuatan hujah, prestasi dan keupayaan menyatukan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin politik agar lebih bertanggungjawab dan berhemah dalam berdepan kritikan.

“Jangan sesekali meletakkan institusi raja dalam kedudukan yang boleh menimbulkan persepsi bahawa ia sedang digunakan untuk mempertahankan kepentingan politik mana-mana pihak.

“Isu politik hendaklah dijawab secara politik. Jangan berlindung di sebalik istana,” katanya.

Sebelum ini, Onn Hafiz yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor menegaskan beliau bukan bersikap sombong seperti yang didakwa, sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab kepada institusi diraja dan memelihara kesejahteraan rakyat Johor.

Maklum balas itu susulan Anwar ketika menyampaikan ceramah di Johor baru-baru ini, menggesa rakyat di negeri itu memilih pemimpin yang bijak dan tidak sombong serta sealiran dengan Putrajaya bagi membolehkan suatu dasar dilaksanakan dengan mudah. – MalaysiaGazette












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo