JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan mengumumkan calon dan kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) Ke-16 pada Sabtu dan Ahad ini.
Pengarah Pilihan Raya Johor (MUDA), Rasid Abu Bakar berkata, lokasi, masa dan atur cara pengumuman calon akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
“Pengumuman ini akan menandakan bermulanya fasa seterusnya dalam persiapan MUDA menghadapi PRN selepas selesainya proses penilaian dan pemilihan calon oleh Jawatankuasa Pemilihan Calon (JPC).
“MUDA sudah melalui proses pemilihan calon yang menyeluruh bagi memastikan individu yang diperkenalkan kepada rakyat mempunyai integriti, keupayaan kepimpinan, komitmen kepada perjuangan parti serta kesediaan untuk berkhidmat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, barisan calon yang bakal diumumkan turut mencerminkan komitmen MUDA untuk mengetengahkan generasi pemimpin baharu yang berani, berwibawa dan memahami cabaran dihadapi rakyat Johor hari ini.
Katanya, PRN itu merupakan peluang untuk rakyat menentukan hala tuju Johor khususnya dalam isu-isu yang dekat dengan kehidupan mereka seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan serta tadbir urus lebih baik.
“MUDA percaya rakyat Johor berhak diberikan pilihan yang menawarkan idea baharu, politik bersih dan kepimpinan yang bersedia mendengar serta memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 27 Jun ini sebagai hari penamaan calon manakala 7 Julai pula adalah hari mengundi awal.
Sementara itu, 11 Julai pula ditetapkan sebagai hari mengundi bagi PRN Johor Ke-16.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment