KUALA LUMPUR – Pengguguran Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada jawatan utama dalam Perikatan Nasional (PN) semakin menyerlahkan hasrat Pas untuk menguasai PN, seterusnya menyingkirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada gabungan politik itu.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, hasrat itu telah beberapa kali dibayangkan oleh pemimpin-pemimpin tertentu Pas sebelum ini.
Jelasnya, kenyataan beberapa anggota Lajnah Undang-Undang Pas serta jentera parti juga memberi gambaran ke arah itu, termasuk usaha menyulitkan pengeluaran watikah calon, memanfaatkan dominasi dalam Majlis Tertinggi untuk menekan Bersatu serta mengetepikan peranan Majlis Presiden dalam proses membuat keputusan.
“Kasar permainan politik Pas ini. Hari demi hari, sedikit demi sedikit, Allah tunjukkan sikap autoritarian dan politik kotor Pas.
“Kalau bukan pendekatan ke’Mullah’an dan ke’Talibanan’, mungkin pegangan Machiavellian, yang mana matlamat menghalalkan cara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, dari aspek jumlah undi dalam Majlis Tertinggi (MT) PN ketika ini, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) masing-masing mempunyai tiga undi, manakala Pas dan Bersatu masing-masing enam undi.
“Sekiranya berlaku pengundian (menyingkirkan Bersatu daripada PN), dan sekiranya diandaikan MIPP menyokong Bersatu, maka jumlah undi Bersatu-MIPP adalah sembilan.
“Jika diandaikan Gerakan pula menyokong Pas, jumlah undi Pas-Gerakan juga adalah sembilan. Maka undi Pengerusi akan menjadi undi pemutus.
“Dengan pengguguran Radzi dan Azmin, Pas cuba memaksimumkan undi Pas, iaitu kepada lapan undi dan pada waktu yang sama mahu mengurangkan undi Bersatu, kepada hanya empat undi.
“Jadi sekiranya MIPP menyokong Bersatu sekalipun, undi Bersatu-MIPP hanya tinggal tujuh undi.
“Dengan sokongan Gerakan, undi Pas-Gerakan akan menjadi 10 undi (tidak termasuk undi Pengerusi).
“Dengan kelebihan ini, Pas boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu kerana mereka yakin dengan sokongan tiga undi Gerakan, keputusan akan berpihak kepada mereka,” katanya.
Bagaimanapun, tegas Tun Faisal, di sebalik sebarang strategi yang cuba dilakukan Pas, Bersatu komited untuk lawan dan mempertahankan PN.
“Tapi saya pun harap rakan-rakan dalam Pas juga boleh bantu hentikan kerakusan dan kegilaan `Kluster Publika’ ini dari dalam,” katanya.
Sumber | malaysiagazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment