JOHOR BAHRU – Datuk Onn Hafiz Ghazi mengakui akan menjadi ‘poster boy’ semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor meskipun belum tentu akan dilantik semula sebagai Menteri Besar Johor.
Beliau berkata, tiada jaminan akan dilantik semula kerana perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail amat penting dalam menentukan siapa yang akan menerajui kerajaan negeri nanti.
“Sebagai menteri besar saya akan dilihat sebagai ‘poster boy’, its very natural. Tapi kita jelas bahawa apa pun keadaan yang akan menentukan siapa menteri besar ialah Sultan Johor atau Pemangku Sultan Johor. Perkenan Istana Johor sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam temuramah bersama-sama media Johor di kediaman rasminya di Saujana, di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Ismail bertitah agar semua pihak menjaga adab serta tertib sepanjang berlangsungnya PRN Johor.
Menteri Besar Johor berkata, pesanan itu disampaikan ketika beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor, supaya cara berpolitik Johor yang mengutamakan kematangan dan rasa hormat antara satu sama lain terus diamalkan.
“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor, kedua-duanya mengingatkan saya, kata ‘Dato’, Johor mesti jadi Johor’, maksudnya dari segi adab kita berkempen, tertib kita berkempen mesti melambangkan cara kita,” katanya.
Onn Hafiz berkata, cara berpolitik Johor yang menggunakan kaedah sederhana dan tidak melampau itu bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah menjadi amalan termasuk pada Sidang Dewan Undangan Negeri Johor (DUN).
“Ini bukannya sesuatu yang baharu. Sebab kalau kita tengok dalam Sidang DUN, walaupun orang kata ia yang paling membosankan di dunia, tapi hakikatnya ia sangat baik diuruskan.
“Kita masih boleh mengutarakan pendapat kita. Tapi tidak melalui pertandingan menjerit. Tidak ada kerusi yang melayang. Tidak ada caci maki, maki hamun.
“Seperti tuanku kata dulu, ini bukan sebuah zoo. Jadi, sama juga (pilihan raya). Mengapa kita tak boleh menunjukkan kematangan? Mengapa kita tak boleh menunjukkan sikap orang yang lebih menghormati walaupun ada perbezaan dari segi pendapat,” katanya.
Tegasnya, tidak perlu maki hamun, caci maki atau menghina sesiapa dan semua diberikan peluang untuk memberikan pendapat.
“Saya rasa itu memang sepatutnya berlaku. Tapi cara bagaimana kita menyampaikannya, saya rasa sangat penting dan itulah sebabnya tuanku kata, jaga adab, jaga tertib bila dalam musim pilihan raya ini,” katanya.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala 27 Jun ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 7 Julai. – Malaysiagazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment