JOHOR BAHRU – Parti Bersama Malaysia (Bersama) memilih untuk menawarkan lima Akujanji Khidmat berbanding membentangkan manifesto pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, tawaran tersebut sebagai komitmen untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan, khususnya dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
“Pendekatan ini dipilih berbanding manifesto kerana Bersama hanya bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus tidak berada pada kedudukan untuk membentuk kerajaan negeri.
“Lima akujanji berkenaan dirangka sebagai komitmen jangka panjang calon-calon Bersama untuk terus berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira keputusan pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Sri Terbrau di sini hari ini.
Beliau berkata, akujanji pertama adalah menjadi saluran suara rakyat menerusi penganjuran daftar bergerak aduan rakyat setiap bulan, selain menyediakan platform digital bagi membolehkan orang ramai mengemukakan isu setempat dan nasional secara terus kepada pimpinan parti.
“Calon-calon Bersama juga berikrar menganjurkan forum awam, petisyen dan kempen bagi memastikan isu membabitkan rakyat Johor mendapat perhatian kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Rafizi berkata, akujanji kedua pula memberi penekanan kepada peranan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan bukan sahaja membawa aduan rakyat, malah menawarkan penyelesaian alternatif melalui kerjasama bersama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.
Katanya, bagi akujanji ketiga melibatkan aspek perumahan, parti itu akan memperjuangkan hak pemilikan rumah rakyat termasuk mempertahankan kampung tradisi daripada tekanan pembangunan komersial serta melindungi hartanah penduduk yang terjejas akibat projek industri.
Selain itu, Bersamaa juga itu berikrar memperjuangkan penambahbaikan dasar perumahan negeri supaya lebih ramai rakyat Johor mampu memiliki kediaman yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan mereka.
Akujanji keempat memberi fokus kepada usaha memperjuangkan sistem pengangkutan awam bersepadu yang berteraskan bas untuk melengkapi pengangkutan berasaskan aliran transit massa yang sedang dibangunkan di Johor Bahru, katanya.
“Akujanji kelima pula ialah memperkukuh fungsi semak dan imbang menerusi pemantauan terhadap prestasi kewangan kerajaan negeri, badan berkanun serta syarikat milik kerajaan negeri bagi mengesan ketirisan dan pembaziran dana awam,” katanya.
Rafizi berkata, pendekatan lima akujanji khidmat itu lebih mencerminkan keikhlasan parti untuk menjadi pembangkang yang berfungsi, berkualiti dan terus berkhidmat kepada rakyat Johor melangkaui tempoh kempen serta pilihan raya.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment