KUALA LUMPUR – Pengumuman projek atau peruntukan kerajaan yang telah diluluskan sebelum ini bukan satu kesalahan pilihan raya, namun semua pihak perlu menjaga etika serta mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan salah faham menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, larangan hanya terpakai terhadap pengumuman projek baharu selepas tempoh yang ditetapkan, manakala projek yang telah diluluskan dalam belanjawan atau perancangan kementerian masih boleh diumumkan mengikut peraturan sedia ada.
Beliau berkata, perkara itu telah disemak dari sudut undang-undang serta peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan tindakan kerajaan mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Kalau ada projek baharu yang tidak ada dalam peruntukan, tidak ada dalam belanjawan yang diluluskan ataupun tidak dalam kerangka kementerian masing-masing, itu memang kesalahan.
“Tetapi kalau sekadar mengumumkan sesuatu yang telah diluluskan, itu bukan kesalahan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas soalan Shahidan yang ingin kerajaan menyatakan sama ada larangan pengumuman peruntukan atau projek kerajaan selepas penamaan calon masih terpakai serta mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan menjelang PRN Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Shahidan mendakwa pengumuman peruntukan RM216.44 juta oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bagi pembangunan perumahan dan kesejahteraan komuniti di Johor melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Anwar menjawab, walaupun perkara tersebut dibenarkan dari sudut peraturan, kerajaan tetap mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif atau salah tafsir dalam kalangan masyarakat.
Katanya, soal etika dalam kempen pilihan raya perlu dilihat secara lebih menyeluruh, bukan hanya berkaitan pengumuman projek atau peruntukan semata-mata.
“Kalau kita bangkitkan balik soal akhlak, soal etika dalam kempen ini sangat baik. Maksudnya jangan terlanjur lebih daripada itu, itu peringatan kepada semua,” katanya.
Menurut beliau, etika sebenar dalam pilihan raya juga melibatkan cara berkempen, termasuk mengelakkan cercaan, fitnah, sumpah seranah dan penyebaran perkara yang boleh menjejaskan keharmonian.
“Yang melanggar etika itu kalau ada sumpah seranah, cerca, menipu. Etika yang lebih besar itu yang kita kena elakkan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan pengumuman berkaitan penyasaran subsidi diesel bukan dibuat kerana faktor pilihan raya, sebaliknya merupakan sebahagian daripada perancangan kerajaan yang telah diumumkan lebih awal.
Katanya, pelaksanaan tersebut dibuat secara berperingkat selepas mengambil kira aspek praktikal bagi memastikan tiada gangguan kepada rakyat dan ekonomi.
“Kita memang umumkan bahawa penyasaran subsidi bermula dengan RON95, diikuti diesel. Pelaksanaan dibuat selepas persediaan mencukupi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment