JOHOR BAHRU – Penggunaan jentera dan agensi kerajaan didakwa digunakan bagi membantu kempen calon-calon daripada parti kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kempen PRN itu sudah dicemari sekali gus bertentangan dengan prinsip tadbir urus baik dan penjimatan yang sering dilaungkan kerajaan.
Bersama membangkitkan dua isu utama sepanjang tempoh kempen iaitu penganjuran majlis berskala besar yang dikendalikan syarikat pengurusan acara serta penglibatan agensi kerajaan dalam program yang turut dihadiri menteri dan calon bertanding.
“Keadaan itu seolah-olah sudah menjadi amalan biasa walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menegaskan komitmen kerajaan untuk memerangi rasuah dan pembaziran.
“Dulu isu penggunaan aset atau agensi kerajaan ketika pilihan raya cukup sensitif, tetapi kini ia seolah-olah telah dinormalisasikan.
“Agensi kerajaan menganjurkan program, kemudian menteri dan calon hadir berkempen dalam program yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Sri Terbrau di sini hari ini.
Beliau berkata, Bersama turut menerima aduan daripada kakitangan kerajaan yang mendakwa terdapat program kementerian melibatkan kakitangan universiti awam dan hospital sehingga menjejaskan operasi sedia ada.
Katanya, situasi itu menimbulkan persoalan memandangkan kerajaan sebelum ini mengumumkan langkah penjimatan perbelanjaan termasuk pengurangan peruntukan beberapa kementerian kerana kekangan kewangan.
“Kerajaan kata perlu berjimat, tetapi pada masa sama agensi kerajaan muncul di sana sini dalam program yang dikaitkan dengan kempen calon. Ini menimbulkan persoalan mengenai penggunaan sumber awam,” katanya.
Rafizi berkata, Bersama akan terus memantau sekiranya terdapat program kempen yang dianjurkan oleh agensi kerajaan khusus melibatkan calon daripada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).
Pada masa sama, beliau menggesa semua parti politik mengamalkan kempen yang sederhana dengan menolak penganjuran majlis berskala besar yang memerlukan perbelanjaan tinggi dan sumber kewangan yang tidak jelas.
Beliau turut menyeru pengundi supaya tidak menggalakkan budaya politik berbelanja besar kerana ia hanya akan mendorong amalan penggunaan dana yang tidak telus.
Sehubungan itu, Bersama memperkenalkan kaedah kempen baharu yang memberi peluang kepada pengundi menjemput calon hadir ke rumah, premis atau kawasan kejiranan bagi sesi dialog secara bersemuka.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan pengundi menilai sendiri calon tanpa perlu menghadiri program berskala besar, selain dapat mengurangkan kos kempen dan mewujudkan budaya politik yang lebih telus serta berteraskan akauntabiliti. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment