JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) yang masih belum menamakan calon Menteri Besar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor didakwa tidak mempunyai calon berkaliber atau berwibawa yang mampu menggalas tanggungjawab itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, ketidakmampuan atau keengganan PH itu kini menimbulkan pelbagai persoalan mengenai hala tuju dan kesiapsiagaan gabungan berkenaan.
Malah tindakan tersebut menggambarkan kelemahan dan ketidaktentuan kepimpinan PH.
Menurutnya, dalam sesebuah pasukan, ketua atau ‘kapten’ perlu diumumkan lebih awal bagi memberi keyakinan kepada ahli pasukan serta penyokong terhadap kemampuan pasukan berkenaan untuk mencapai kemenangan.
“Ketidakmampuan ataupun keengganan untuk menamakan seorang individu sebagai kapten untuk menjadi teraju kepada pasukan memberi gambaran bahawa pasukan tersebut tidak mempunyai calon berkaliber atau berwibawa yang diyakini mampu menggalas tanggungjawab itu.
“Jika pun diumumkan sebagai calon kapten, individu berkenaan mungkin tidak mampu menaikkan moral serta semangat juang pasukan, apatah lagi meyakinkan penyokong mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan balas pemimpin PH yang mempertahankan keputusan gabungan itu untuk tidak menamakan calon Menteri Besar lebih awal jika menang PRN Johor.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempersoalkan tawaran yang mampu dikemukakan PH kepada rakyat negeri ini sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRN Johor pada 11 Julai ini.
Menurut Onn Hafiz, sehingga kini, PH masih gagal menampilkan calon Menteri Besar Johor yang jelas untuk ditawarkan kepada rakyat selain tidak mengemukakan pelan pembangunan yang meyakinkan bagi masa depan Johor.
Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, kegagalan menamakan calon Menteri Besar Johor juga boleh ditafsirkan bahawa PH sedang berdepan masalah dalaman serta tidak mempunyai kesepakatan dalam menentukan kepimpinan tertinggi negeri.
Keadaan itu memberi gambaran pasukan PH berada dalam keadaan huru-hara, bercelaru dan tidak tentu hala tanpa wawasan kepimpinan yang jelas.
“Ia juga boleh menimbulkan persepsi bahawa mereka memasuki pertandingan tanpa persediaan yang rapi atau tanpa keyakinan untuk menawarkan alternatif yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat Johor berhak mengetahui siapakah individu yang bakal memimpin negeri ini sekiranya PH diberi mandat mentadbir selepas pilihan raya nanti.
“Rakyat Johor berhak mengetahui siapa kapten yang mahu memimpin pasukan mereka. Kepimpinan yang jelas adalah asas kepada keyakinan rakyat terhadap sesebuah kerajaan yang ingin dibentuk,” katanya.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment