NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dr Zaliha calon Menteri Besar PH?



JOHOR BAHRU – Adakah Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR ) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa akan dilantik sebagai calon Menteri Besar pertama Pakatan Harapan (PH) di Johor jika menang pilihan raya negeri (PRN) pada 11 Julai ini?

Persoalan itu dilontarkan Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman ketika isu berkenaan ‘poster boy’ dan siapa Menteri Besar Johor daripada PH sedang panas diperkatakan.

Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau membangkitkan persoalan sama ada Zaliha sekadar mempertahankan pendirian PH atau memberi bayangan beliau sendiri mempunyai cita-cita untuk diketengahkan sebagai calon Menteri Besar PH di Johor.


“Melihat kesungguhan Dr Zaliha mempertahankan isu ini, timbul persoalan sama ada beliau sekadar bercakap bagi pihak PH atau sebenarnya sedang memberi bayangan bahawa selaku Pengerusi Keadilan Johor, beliau sendiri bercita-cita menjadi ‘poster boy’ atau calon Menteri Besar wanita pertama PH di Johor,” katanya dalam kenyataan.

Halim berkata, rakyat berhak mengetahui siapa individu yang bakal menerajui negeri itu sekiranya PH diberikan mandat mentadbir Johor.

Menurutnya, isu berkenaan bukan sekadar polemik politik, sebaliknya berkait rapat dengan soal akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang ditawarkan kepada pengundi.

Beliau berkata, kenyataan Zaliha bahawa status poster boy bukan jaminan untuk dilantik sebagai Menteri Besar Johor menimbulkan lebih banyak persoalan.

Jelasnya, ini kerana pada masa sama PH masih enggan menamakan calon yang bakal diketengahkan.

“Rakyat bukan sahaja mahu menilai manifesto, tetapi juga individu yang akan melaksanakan dasar serta memimpin negeri

“Jika benar PH mempunyai ramai pemimpin yang layak dan berwibawa, mengapa begitu sukar untuk menamakan seorang calon menteri besar,” soalnya.

Abdul Halim berkata, kegagalan PH memberikan jawapan jelas hanya menguatkan persepsi bahawa gabungan itu masih belum mencapai kata sepakat mengenai kepimpinan Johor.

Menurutnya, kepastian mengenai kepimpinan penting bagi memastikan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap hala tuju pentadbiran negeri pada masa depan.

Beliau berkata, kerajaan Johor hari ini dinilai berdasarkan rekod prestasi serta pencapaian dalam menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk rakyat.

“Dalam konteks ini, sesiapa sahaja yang bakal diangkat sebagai calon menteri besar oleh Barisan Nasional (BN) Johor, perkara paling utama ialah rekod kerja, prestasi dan keupayaan mentadbir negeri.

“Politik berasaskan hasil, penyelesaian masalah rakyat dan kesinambungan pembangunan perlu menjadi ukuran utama, bukan sekadar populariti atau persepsi politik,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan pelantikan Menteri Besar Johor tetap tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Johor serta perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

Sebelum ini, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempersoalkan tawaran yang mampu dikemukakan PH kepada rakyat negeri ini sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan.

Menurut Onn Hafiz, sehingga kini PH masih gagal menampilkan calon Menteri Besar Johor yang jelas untuk ditawarkan kepada rakyat selain tidak mengemukakan pelan pembangunan yang meyakinkan bagi masa depan Johor.

Terdahulu tular dakwaan Zaliha akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas pada PRN Johor kali ini.- MalaysiaGazette












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo