JOHOR BAHRU – Amira Aisya Abd Aziz hari ini mengumumkan tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berbuat demikian kerana mahu bertanding peringkat Parlimen sekitar Johor Bahru kerana mahu memberi khidmat yang lebih luas dan menyeluruh.
“Selepas empat tahun berkhidmat di sini, saya dapati ada banyak isu yang berada dalam bidang kuasa peringkat Parlimen antara isu hospital, pendidikan dan lain-lain.
“Hospital Sultan Ismail di sini sentiasa tidak cukup katil, sekolah juga tidak mencukupi dan semakin padat, semua isu berkenaan merupakan bidang kuasa peringkat pusat.
“Sehubungan itu saya telah suarakan hasrat untuk bertanding di Parlimen,” katanya ketika berucap dalam Majlis Memperkenalkan Calon MUDA di Camelia Event Space di sini hari ini.
Beliau berkata, hasrat itu selari dengan tujuan penubuhan MUDA iaitu untuk mengangkat suara penduduk akar umbi ke peringkat tertinggi.
“Sudah tentu Puteri Wangsa ada nilai tersendiri buat kami tetapi saya lahir di kawasan Majidee, jadi seluruh Johor Bahru adalah kawasan permainan saya.
“Mana kerusi Parlimen yang akan saya tandingi akan diputuskan kelak tetapi fokus adalah di daerah Johor Bahru,” katanya.
Amira Aisya berkata, soal isu pendidikan yang juga sering dibangkitkan beliau di DUN, tidak mendatangkan hasil kerana ia kemudian dibalikkan kepada bidang kuasa Parlimen.
“Isu pendidikan pun, di kawasan Puteri Wang banyak sekolah yang sudah padat dengan pelajar. Ada sebuah sekolah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Dato’ Onn yang dah buka sepatutnya, tetapi tidak beroperasi. Kita push beberapa kali.
“Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pun sepatutnya sudah dibuka tetapi tidak buka-bila. Bila kita push isu ini, akhirnya ia adalah soal isu dasar di peringkat Parlimen.
“Sebab itu, saya rasa pentingnya kita bawa suara Puteri Wangsa ini ke peringkat Parlimen,” jelasnya.
Amira Aisya adalah wakil tunggal MUDA yang memenangi kerusi DUN pada PRN Johor 2022.
Beliau memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa dengan undian sebanyak 22,884 mengalahkan lima pencabarnya termasuk Ng Yew Aik dari Barisan Nasional (BN) dan Steven Choong dari Parti Bangsa Malaysia (PBM). – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment