NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengaruh Anwar di Johor masih atasi Onn Hafiz – AMK Johor



KUALA LUMPUR – Pengaruh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kalangan rakyat Johor masih dilihat lebih menonjol berbanding Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Sharwin Subramani berkata kepada MalaysiaGazette, realiti di lapangan menunjukkan Anwar kekal menjadi tokoh utama yang mampu menarik sokongan rakyat pelbagai kaum di negeri itu.

Menurutnya, perkara tersebut dapat dilihat menerusi pelancaran jentera Pakatan Harapan (PH) di Batu Pahat baru-baru ini yang berjaya menghimpunkan ribuan rakyat daripada pelbagai latar belakang, termasuk masyarakat Melayu, Cina dan India.

“Yang hadir bukan hanya ahli parti. Ramai datang secara sukarela untuk mendengar amanat Perdana Menteri. Itu realiti yang berlaku di lapangan.

“Apabila kita bercakap tentang pengaruh politik dan sokongan rakyat, kita perlu melihat siapa yang benar-benar mampu menarik kehadiran rakyat biasa, bukan sekadar mengira jumlah peserta yang digerakkan oleh jentera parti,” katanya.

Sharwin berkata, keadaan itu berbeza dengan pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) yang berlangsung semalam dan digambarkan sebagai ‘lautan biru’.

Menurut beliau, majoriti yang hadir pada program berkenaan terdiri daripada jentera dan ahli parti bukannya ukuran sebenar sokongan pengundi atas pagar.

“Tidak adil untuk membandingkan kehadiran jentera parti dengan kehadiran rakyat yang datang secara sukarela. Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan bahawa lautan biru itu mencerminkan sentimen pengundi Johor secara keseluruhan,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan naratif ketidakstabilan politik yang sering digunakan bagi mempertahankan keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor lebih awal.

Katanya, sukar untuk rakyat menerima alasan tersebut memandangkan BN menguasai hampir 40 daripada 56 kerusi DUN Johor dan masih mempunyai majoriti yang amat selesa.

“Jika benar kerajaan negeri begitu kukuh, mengapa perlu tergesa-gesa membubarkan DUN sedangkan mandat masih berbaki lebih setahun?

“Di mana ketidakstabilan yang dimaksudkan jika kerajaan mempunyai majoriti yang begitu besar?” soalnya.

Sharwin juga melihat terdapat kecenderungan sesetengah pihak untuk terlalu membesarkan populariti Onn Hafiz sehingga menenggelamkan hakikat banyak kejayaan yang dibanggakan Johor hari ini turut bergantung kepada sokongan kerajaan Persekutuan.

Katanya, isu-isu besar yang sering diketengahkan termasuk pelaburan asing, pembangunan infrastruktur, hubungan ekonomi dengan Singapura, sistem imigresen dan projek strategik seperti RTS memerlukan penglibatan langsung kerajaan pusat.

“RTS dan pelbagai isu berkaitan Singapura bukan perkara yang boleh diselesaikan oleh kerajaan negeri secara bersendirian.

“Ia memerlukan hubungan di peringkat Perdana Menteri, kementerian dan agensi Persekutuan. Sebab itu tidak wajar segala kejayaan mahu dikreditkan kepada kerajaan negeri semata-mata,” katanya.

Menurut Sharwin, Johor juga tidak boleh dipisahkan daripada peranan Kerajaan Madani yang diterajui Anwar, termasuk kerjasama erat parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ketika memerlukan sokongan Kerajaan Persekutuan, semua pihak bercakap mengenai kerjasama dan kestabilan. Tetapi apabila tiba musim pilihan raya, PH dan DAP pula dijadikan sasaran politik.

“Rakyat Johor cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar membawa hasil dan siapa yang sekadar cuba membina naratif politik,” katanya.

Tegasnya, daripada terus menuding jari kepada pihak lain, kerajaan negeri sepatutnya memberi penjelasan lebih meyakinkan kepada rakyat mengenai keperluan mengadakan pilihan raya lebih awal walaupun berada dalam kedudukan yang begitu selesa di Dewan Undangan Negeri. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo