NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kepercayaan terguris bukan mudah dipulihkan – Fadhli ungkit semula episod Perlis, Negeri Sembilan



KUALA LUMPUR – Di sebalik usaha Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan hubungan baik dengan Pas,  Ahmad Fadhli Shaari memberi isyarat krisis kepercayaan antara kedua-dua parti itu masih belum berakhir.

Menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat malam ini yang dijangka membincangkan hala tuju hubungan dengan Bersatu, Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas mengingatkan  kepercayaan yang telah terhakis tidak mudah dipulihkan hanya melalui kenyataan politik.

Menurut beliau, hubungan yang dibina atas dasar persefahaman perlu dinilai berdasarkan tindakan khususnya ketika berdepan saat-saat genting yang menguji kesetiaan dan keikhlasan rakan politik.

“Kepercayaan yang terguris bukan mudah dipulihkan. Saya tidak meragui keikhlasan Tan Sri Muhyiddin dalam menyatakan pendirian tersebut. Namun hubungan politik yang dibina atas nama persefahaman dan kepercayaan tidak boleh hanya dinilai berdasarkan kenyataan yang baik.

“Ia juga perlu diukur melalui tindakan yang berlaku ketika berdepan saat-saat yang paling kritikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Fadhli turut mengungkit semula episod pelantikan Menteri Besar Perlis yang menyaksikan Bersatu menghantar nama calon daripada parti itu walaupun Pas menguasai majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menimbulkan persoalan yang menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu masih belum terjawab sehingga hari ini.

Katanya, persoalan mengenai dakwaan kewujudan titah diraja serta akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut menjadi antara faktor yang menjejaskan keyakinan penyokong Pas terhadap rakan gabungannya itu.

“Pada waktu itu, adakah hubungan baik dengan Pas benar-benar diambil kira? Jika alasan yang diberikan ialah wujudnya ‘titah diraja’, maka persoalannya mudah. Adakah benar wujud titah sedemikian seperti yang didakwa?” soalnya.

Selain isu Perlis, beliau turut membangkitkan keputusan Bersatu di Negeri Sembilan yang didakwa mengubah pendirian bersama ADUN-ADUN Perikatan Nasional (PN) tanpa rundingan terlebih dahulu dengan Pas.

“Jika sebelum PRU-16 pun Bersatu boleh menghantar nama calon Menteri Besar daripada parti itu tanpa sebarang rundingan dengan Pas, apakah jaminan bahawa perkara yang sama tidak akan berulang selepas pilihan raya akan datang?

“Apakah jaminan bahawa mana-mana keputusan berkaitan calon Menteri Besar atau Perdana Menteri tidak akan dibuat secara unilateral tanpa rundingan terlebih dahulu dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional?” soalnya lagi.

Menurut Fadhli, hubungan politik boleh diteruskan dan kerjasama masih boleh diperkukuhkan namun kepercayaan yang telah rosak memerlukan masa yang panjang untuk dibina semula.

Trust, once broken, is hard to rebuild. Sebab itulah saya berpandangan bahawa apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh Pas dalam masa terdekat pasti akan mengambil kira bukan sahaja keadaan semasa, tetapi juga rentetan peristiwa yang telah menghakis kepercayaan yang diberikan selama ini,” katanya.

Beliau menegaskan, kepercayaan tidak dibina melalui ucapan atau janji politik sebaliknya melalui tindakan yang konsisten dan menghormati semangat kerjasama dalam sesebuah gabungan.

“Kepercayaan bukan dibina melalui ucapan. Ia dibina melalui tindakan dan apabila kepercayaan itu terguris, proses untuk memulihkannya jauh lebih sukar daripada proses untuk merosakkannya,” katanya.

Status hubungan politik antara Pas dan Bersatu kini menjadi tumpuan apabila Jawatankuasa Pas Pusat dijadual bermesyuarat malam ini susulan kebimbangan terhadap konflik dalaman Bersatu yang didakwa boleh memberi kesan kepada kestabilan Perikatan Nasional. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo