JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor mempertahankan pendirian Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi yang tidak akan bekerjasama atau duduk semeja dengan DAP kerana perbezaan ideologi politik.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, pendirian tersebut tidak berasaskan sentimen perkauman sebaliknya berpunca daripada perbezaan prinsip, nilai dan hala tuju politik antara UMNO serta Barisan Nasional (BN) dengan DAP.
“Adalah sesuatu yang biasa dalam politik apabila parti-parti yang mempunyai ideologi berbeza memilih untuk tidak menjalinkan kerjasama.
“Tidak ada asas untuk melabelkan pendirian itu sebagai perkauman. Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya disamakan dengan sentimen perkauman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mendakwa perbezaan antara UMNO dan DAP adalah jelas, termasuk pendirian DAP masih berpegang kepada konsep Malaysian Malaysia yang menurutnya tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang dipertahankan UMNO dan BN.
Mengulas kenyataan Anthony yang membandingkan isu itu dengan kehadiran pemimpin UMNO dan DAP dalam mesyuarat jemaah nenteri, Noor Azleen berkata, perbandingan tersebut tidak tepat.
Menurutnya, Menteri Pengangkutan itu keliru dalam membezakan antara tanggungjawab kepada negara dan pilihan kerjasama politik.
Beliau menjelaskan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri mesyuarat jemaah menteri atas kapasiti rasmi sebagai anggota pentadbiran kerajaan dan bukan berdasarkan pilihan politik peribadi.
“Dalam melaksanakan amanah kepada negara, seseorang pemimpin tidak boleh memilih siapa yang berada dalam mesyuarat atau duduk semeja dengannya.
“Sebaliknya dalam soal kerjasama politik, setiap parti mempunyai hak untuk menentukan pendirian serta memilih rakan kerjasama berdasarkan prinsip, ideologi dan nilai perjuangan masing-masing,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika berucap dalam pelancaran jentera BN Johor menegaskan, beliau enggan memegang jawatan Menteri Besar Johor sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP jika menang dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Tegas beliau, kerjasama antara BN khususnya UMNO dan DAP di negeri ini tidak pernah terjalin selama ini, berbeza berbanding realiti yang dihadapi di peringkat Pusat.
Susulan itu Anthony dalam Facebook miliknya semalam secara sinis menyindir pendirian pemimpin UMNO Johor itu dengan mengingatkan hubungan rasmi antara kepimpinan tertinggi UMNO dan DAP dalam kerajaan Perpaduan.
“Anda tak nak duduk semeja dengan DAP……Hebat! Teruskan keangkuhan kamu. Tapi, Presiden anda tiap-tiap minggu duduk sebelah dengan Setiausaha Agung DAP ya…harap maklum…terima kasih!” tulis beliau dalam hantaran ringkas.
Hantaran tersebut turut disertakan sekeping gambar yang dipercayai memaparkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi duduk bersebelahan Anthony Loke dalam satu majlis rasmi.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment