NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Politik kebencian alih perhatian rakyat daripada isu sebenar – Penganalisis



KUALA LUMPUR – Budaya politik kebencian yang semakin menular dalam kalangan pemain politik dan pengguna media sosial dibimbangi boleh menghakis perpaduan negara serta mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar yang membelenggu rakyat.

Penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan berkata, landskap politik negara ketika ini dilihat semakin dipenuhi unsur provokasi, fitnah dan perbalahan berterusan yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.

Menurut beliau, rakyat semakin letih dengan polemik politik yang tidak berkesudahan sedangkan pelbagai masalah berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan perumahan masih memerlukan perhatian serius.

“Terlalu banyak tenaga dan masa dihabiskan untuk politik kebencian serta permainan emosi, sedangkan rakyat mahukan penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi setiap hari.

“Politik kebencian mungkin boleh menang dalam percaturan emosi, tetapi akhirnya kalah dalam usaha membina masa depan negara,” katanya dalam kolumnya yang diterbitkan baru-baru ini.

Anbumani berkata, perkembangan politik semasa yang menyaksikan perpecahan parti, pertukaran kesetiaan pemimpin, penubuhan parti baharu dan pelbagai manuver politik lain turut menyumbang kepada persepsi negatif rakyat terhadap dunia politik.

Katanya, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, semua pihak sepatutnya memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuhkan ekonomi negara dan membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

Menurut beliau, kerajaan Madani telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat, namun aspek pelaksanaan dan penyampaian dasar masih perlu diperkasakan supaya manfaatnya benar-benar dirasai di peringkat akar umbi.

“Ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan konflik geopolitik, negara seharusnya menumpukan perhatian kepada agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat.

“Malangnya, isu kaum, agama dan kebencian masih terus dimainkan sehingga mengalihkan perhatian daripada cabaran sebenar yang dihadapi negara,” ujarnya.

Anbumani turut merujuk seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa golongan majoriti yang cintakan keamanan supaya bangkit menolak budaya fitnah dan kebencian yang semakin berleluasa.

Beliau berkata, perbezaan pandangan politik tidak seharusnya bertukar menjadi medan permusuhan kerana demokrasi yang sihat memerlukan persaingan idea, bukannya persaingan mencipta konflik.

Katanya, titah dan peringatan yang sering dizahirkan Yang di-Pertuan Agong mengenai kepentingan perpaduan rakyat serta kestabilan politik juga perlu dijadikan panduan oleh semua pihak.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa penyebaran maklumat palsu, manipulasi media sosial dan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan mengelirukan boleh menambahkan lagi ketegangan politik jika tidak ditangani secara berkesan.

Sehubungan itu, beliau berpandangan Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu memperhebat usaha membendung penyebaran kandungan berunsur fitnah dan kebencian tanpa menjejaskan prinsip kebebasan bersuara.

“Rakyat hari ini semakin matang dan kritikal. Mereka mahu melihat hasil kerja, kestabilan serta penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

“Politik kebencian tidak pernah membina negara. Jika dibiarkan berterusan, ia hanya akan merosakkan perpaduan yang telah lama dibina dan menggadaikan masa depan negara demi kepentingan politik jangka pendek,” ujarnya. -MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo