KUALA LUMPUR – Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen menuntut Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman memberi penjelasan sama ada Deklarasi Setapak 1967 yang masih dipaparkan dalam portal rasmi DAP bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 153 yang memperuntukkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Menurut beliau, deklarasi berkenaan secara jelas menyatakan bahawa dalam proses pembinaan negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting dan pengasingan rakyat kepada kelompok Bumiputera serta bukan Bumiputera perlu ditentang.
Katanya, Deklarasi Setapak bukan dokumen yang direka oleh pihak lawan politik, sebaliknya merupakan dokumen rasmi yang diterbitkan serta diperjuangkan oleh DAP dan telah lama menjadi naratif yang disebarkan kepada penyokong parti itu, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.
“Jika benar seperti yang dinyatakan oleh Young Syefura bahawa DAP menghormati Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perkara 153, maka kepimpinan DAP perlu membuktikan keikhlasan tersebut melalui tindakan, bukan sekadar kenyataan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ivone turut mempersoalkan pendirian DAP terhadap kandungan Deklarasi Setapak memandangkan parti itu sering mendakwa mendapat sokongan besar daripada masyarakat Cina.
Beliau berkata, DAP perlu menjelaskan sama ada deklarasi tersebut masih menjadi pegangan parti atau hanya digunakan sebagai alat untuk meraih sokongan politik.
“Jika tiada penjelasan diberikan, masyarakat akan melihat DAP sebagai sebuah parti yang mengamalkan pendekatan talam dua muka.
“Di hadapan masyarakat Melayu, mereka mendakwa menjunjung Perlembagaan Persekutuan, namun di hadapan masyarakat Cina, mereka mengangkat Deklarasi Setapak,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment