BANGI, 14 MUHARRAM – Urusan membentuk kerajaan negeri Johor tidak seharusnya dikaitkan dengan isu melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau kerajaan Persekutuan.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pihaknya tidak ada masalah jika Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming, berhasrat meletakkan jawatan jika BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana perkara itu tidak mempunyai kaitan.
“Alhamdulillah, letaklah jawatan. Memang kita nak dia letak jawatan. Kalau BN menang di Johor, kita hanya tubuh kerajaan negeri sahaja. Kerajaan negeri tidak ada kena-mengena dengan hal-hal di Persekutuan.
“Jadi janganlah cakap besar sangat. Kalau dia nak letak jawatan, letaklah jawatan segera. Tidak ada masalah bagi kita,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian selepas sarapan pagi bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Azman Ismail dan DUN Bukit Naning, Ghazali Sabari di Muar, hari ini.
Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilaporkan berkata, kemenangan BN di Johor akan membawa kepada pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dipenjarakan kerana kes 1MDB.
Pemimpin DAP itu juga tidak menolak kemungkinan parti itu untuk menarik diri dari kerajaan jika perkara itu berlaku kerana ia merupakan “garis merah” parti tersebut.
Sementara itu mengulas dakwaan bahawa BN sukar untuk untuk mencapai kemenangan 40 kerusi, terutama di kawasan majoriti pengundi Cina, Mohamad menyifatkan perkara itu sebagai subjektif.
“BN memberi tumpuan kepada kempen yang berasaskan rekod pentadbiran kerajaan negeri serta usaha meneruskan pembangunan Johor di bawah pimpinan Menteri Besar.
“Johor kini berada pada kedudukan terbaik dari segi penerimaan pelaburan asing, sekali gus dijangka meningkatkan hasil negeri dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan hasil negeri itu akan terus dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment