Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara itu dibuktikan menerusi Statistik Kanak-Kanak Malaysia 2025 terbitan DOSM yang menggunakan data rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Beliau berkata, berdasarkan data itu, Selangor merekodkan 438 kes pada 2024, diikuti Johor (271), Perak (184), Sabah (155), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (140), Pulau Pinang (119), Melaka (108), Kedah 102 kes, manakala Kelantan hanya 91 kes.
Katanya, statistik rasmi pada tahun sebelumnya turut menunjukkan bahawa kes 368 jenayah seksual melibatkan mangsa berusia 18 tahun ke bawah berlaku di Selangor diikuti Sabah (215), Johor (200), Kedah (172) dan Kelantan hanya 124 Kes.
“Jika benar Kelantan ialah negeri paling teruk seperti yang didakwa, mengapa statistik rasmi kerajaan sendiri menunjukkan sekurang-kurangnya lapan negeri merekodkan jumlah kes yang lebih tinggi?” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan wakil rakyat DAP, RSN Rayer yang memberi gambaran kononnya Kelantan merupakan negeri mempunyai jenayah seksual kanak-kanak paling tinggi.
Ahli Parlimen Jelutong itu dilihat membuat persepsi negatif berkenaan ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat semalam.
Rayer dilihat memilih untuk ‘menyerang’ Kelantan dengan memetik sebuah artikel bertajuk ‘Kelantan and sexual crimes against children: no solution in sight” yang diterbitkan Free Malaysia Today pada 27 Mei lalu.
Ahmad Fadhli berkata, artikel itu bagaimanapun langsung tidak mengemukakan sebarang data atau statistik yang menyatakan Kelantan sebagai negeri jenayah seksual tertinggi melainkan hanya menghimpunkan beberapa kes berprofil tinggi yang pernah berlaku di negeri itu.
Justeru, Ahmad Fadhli mempersoalkan tindakan Rayer untuk menggunakan artikel tanpa rujukan statistik rasmi untuk dijadikan sebagai hujah di Parlimen.
“Bukan itu sahaja, statistik penderaan fizikal terhadap kanak-kanak pada turut menunjukkan Selangor mencatatkan 308 kes, Johor (107), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (64), Pulau Pinang (55) dan Perak 49 kes manakala Kelantan merekodkan 17 kes.
“Lebih memeranjatkan, laporan yang sama menunjukkan statistik buang bayi bagi tahun 2023 yang mana Selangor juga merekodkan jumlah tertinggi iaitu 38 kes diikuti Sabah (21), Johor (14) dan Kedah 10 manakala tujuh kes masing-masing direkodkan di Kelantan, Pahang dan Terengganu.
“Seterusnya, statistik penculikan kanak-kanak bagi tahun 2024 menunjukkan terdapat 11 kes dengan Selangor mencatatkan empat kes, dua kes di Johor dan Terengganu manakala Melaka dan Sarawak merekodkan satu kes,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli mengingatkan Rayer supaya tidak memilih statistik sesuka hati untuk membina persepsi.
Tambah beliau, jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak boleh dilihat sebagai isu prti politik atau negeri, sebaliknya ia adalah isu negara yang perlu ditangani secara bersama.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment