KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa meminta Ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersabar susulan gesaan supaya parti itu keluar atau dikeluarkan daripada Perikatan Nasional (PN).
Dalam masa sama, beliau turut meminta pemimpin tertentu yang secara terbuka menyerang pimpinan PN supaya bersabar dan tidak melanggar etika serta disiplin PN.
Menurutnya, Pas mengambil maklum desakan yang dibuat Ahli-ahli Parlimen Bersatu itu serta menghormati hak Bersatu untuk meninggalkan PN secara sukarela.
Namun, tegas beliau, PN kekal sebagai entiti politik yang mana keberadaannya ditentukan oleh ahlinya yang empat iaitu Pas; Bersatu; Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Malah, tambahnya, sebarang keputusan besar perlu mengikut perlembagaan PN yang bertulis.
“Pas adalah ahli pengasas PN dan dua dari tujuh penandatangan penubuhannya adalah YAB DS Dr Samsuri dan YB Datuk Seri Takiyudin Hassan.
“Pada masa ini YAB DS Dr Samsuri adalah Pengerusi PN dan kita percaya beliau akan terus memimpin PN mengikut lunas perlembagaannya,” katanya menerusi Facebook malam tadi.
Menurut Annuar, beliau yakin semua permasalahan berbangkit ketika ini akan diselesaikan bersama-sama oleh empat ahli PN.
Semalam, seramai 13 Ahli Parlimen Bersatu mendesak supaya parti itu segera keluar atau dikeluarkan daripada gabungan PN susulan keputusan Pas memutuskan hubungan dengan parti tersebut.
Menerusi kenyataan bersama, mereka mendakwa tindakan Pas itu bukan sesuatu yang mengejutkan berikutan sikap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang disifatkan sebagai angkuh dan sombong. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment