KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Sungai Besar menyelar Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim yang didakwa menuduh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersikap angkuh susulan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunos menegaskan, ia bukan sahaja tidak berasas, bahkan pemimpin muda itu gagal memahami realiti pembentukan Kerajaan Perpaduan dan sejarah politik negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kamil Munim sepatutnya bermuhasabah sebelum menyerang UMNO.
“Ini kerana Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri terpaksa merayu sokongan UMNO serta Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan kerajaan dibentuk selepas keputusan PRU-15 yang tergantung.
“Janganlah apabila sudah berada dalam kerajaan dan menikmati kuasa, terus lupa bagaimana kerajaan ini dibentuk. Seluruh negara tahu siapa yang memerlukan siapa selepas PRU-15.
“Tanpa UMNO-BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi Perdana Menteri. Tanpa UMNO-BN juga, PH dan DAP tidak akan berada dalam Kerajaan Persekutuan pada hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Isnin lalu, Muhammad Kamil menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan terbentuk tanpa sokongan BN sebagai angkuh dan tidak mencerminkan semangat sebenar kerjasama politik ketika ini.
Muhammad Kamil berkata, dakwaan BN menjadi faktor utama pembentukan kerajaan sedia ada susulan sumbangan 30 kerusi Parlimen tidak wajar dalam landskap politik semasa yang lebih kompleks dan berteraskan perkongsian kuasa.
Jamal menegaskan, tuduhan UMNO bersikap sombong kerana mahu bertanding menggunakan kekuatan sendiri di Johor merupakan pandangan cetek dan tidak menghormati hak sesebuah parti politik menentukan hala tuju serta strategi pilihan rayanya.
“Johor bukan negeri yang ditadbir melalui formula Kerajaan Perpaduan, malah rakyat negeri itu telah memberikan mandat jelas kepada BN dalam PRN 2022.
“Atas dasar apa UMNO perlu meminta izin atau mendapatkan restu PH untuk menentukan strategi politiknya di Johor?
“UMNO menang di Johor sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan dan UMNO mempunyai kekuatan sendiri untuk berdepan mana-mana pilihan raya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Muhammad Kamil supaya tidak bersikap seolah-olah PH merupakan pihak dominan yang boleh menentukan segala keputusan politik dalam kerajaan.
Jelasnya, kerjasama antara UMNO-BN dan PH diwujudkan demi kestabilan negara, bukannya untuk menjadikan UMNO sebagai parti yang perlu tunduk kepada kehendak mana-mana pihak.
“UMNO bukan penumpang. UMNO bukan parti kecil yang menumpang kuasa orang lain. UMNO adalah antara tonggak utama yang membolehkan kerajaan hari ini wujud dan terus stabil.
“Jika UMNO menarik sokongan selepas PRU-15, sejarah politik negara mungkin berbeza sama sekali hari ini,” katanya.
Katanya lagi, Muhammad Kamil perlu belajar menghormati rakan kerjasama sebelum menyerang rakan dalam kerajaan berbanding memperkukuhkan parti sendiri.
“Muhammad Kamil perlu sedar diri dan berhenti bercakap seolah-olah UMNO terhutang budi kepada PH.
“Hakikatnya, jika mahu bercakap soal jasa dan pengorbanan, PH sepatutnya menghargai peranan UMNO-BN yang sanggup membuat keputusan besar demi kestabilan negara walaupun berdepan pelbagai risiko politik.
“Jangan sesekali keliru antara kerjasama dengan ketundukan. UMNO bekerjasama demi negara, bukan untuk diperkecil atau dipersoalkan maruah politiknya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment