KUALA LUMPUR — Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menyelar sikap Pas yang didakwa bersikap tidak konsisten dalam mempertahankan institusi Raja Melayu, malah menyifatkan parti itu sebagai ‘juara bermusim’ yang hanya lantang apabila melibatkan musuh politik mereka.
Menurut beliau, Pas dilihat pantas menuduh pihak tertentu sebagai derhaka serta mengapi-apikan sentimen rakyat apabila timbul kenyataan yang dikaitkan dengan institusi raja namun mengambil pendekatan berbeza apabila isu sama membabitkan pemimpin sendiri.
“Rakyat masih ingat kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan titah Yang di-Pertuan Agong bukan pemutus yang menghalang kepada perubahan dalam sistem demokrasi dan perjalanan politik negara.
“Kenyataan itu jelas membawa maksud bahawa dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa raja tertakluk kepada Perlembagaan dan proses demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, kenyataan itu jelas membawa maksud dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa raja tertakluk kepada Perlembagaan dan proses demokrasi namun Pas didakwa memilih untuk berdiam diri ketika kenyataan tersebut tercetus.
“Hari ini Pas cuba menyerang pihak lain atas isu yang sama maknanya. Persoalannya, mengapa Pas tidak mengecam Tan Sri Hadi Awang? Mengapa tiada himpunan bantahan di depan Istana Negara ketika Presiden Pas mengeluarkan kenyataan tersebut?
“Mengapa ukuran ‘derhaka’ Pas berubah ikut warna parti?” soalnya lagi.
Mahfuz turut mendakwa politik Pas ketika ini semakin hilang prinsip apabila sesuatu isu dinilai berdasarkan kepentingan politik semata-mata dan bukannya pendirian yang konsisten.
“Bila lawan bercakap, mereka menjerit derhaka. Bila pemimpin sendiri bercakap, mereka mula bercakap soal konteks, tafsiran dan demokrasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, kenyataannya bukan bertujuan mempertahankan mana-mana individu termasuk Tony Pua sebaliknya mahu menuntut kejujuran politik dalam isu melibatkan institusi raja.
“Institusi araja tidak sepatutnya dijadikan alat politik bermusim untuk meniup sentimen kebencian dan kemarahan rakyat. Malaysia ialah negara Raja Berperlembagaan. Institusi Raja mesti dihormati. Perlembagaan juga mesti dijunjung.
“Kalau Pas benar-benar ikhlas mempertahankan institusi Raja, mereka sepatutnya konsisten bukan memilih siapa yang mahu diserang dan siapa yang mahu dilindungi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment