NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Insiden letupan Putra Heights: Selangor sedia dedah laporan siasatan – MB



SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor mengesahkan laporan penuh berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights sudah siap sepenuhnya, namun kini hanya menanti ‘lampu hijau’ dan maklum balas daripada pihak Kerajaan Persekutuan sebelum ia dapat didedahkan kepada umum.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendirian kerajaan negeri adalah kekal telus dan sedia mengesyorkan agar hasil siasatan tersebut dihebahkan untuk semakan semua pihak.

“Bagaimanapun, memandangkan kes tersebut melibatkan bidang kuasa dan agensi di peringkat Persekutuan, rujukan menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang implikasi berbangkit.

“Laporan penuh sudah ada. Kita sedang tunggu laporan daripada Kerajaan Persekutuan sebab ia melibatkan agensi Persekutuan, jadi, (kerajaan) negeri tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Peluncuran Program Tuisyen Rakyat Selangor & Program Didik Kasih di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kandungan dokumen berkenaan, Amirudin berkata, ia merangkumi penelitian daripada Jawatankuasa Bebas, termasuk dua wakil yang dipilih oleh pihak pembangkang serta barisan pakar teknikal.

Panel bebas itu adalah yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang mana mempunyai kelayakan ikhtisas dalam pelbagai bidang berkaitan seperti cerun, bukit, minyak dan gas.

“Jawatankuasa tersebut ditugaskan untuk menyemak semula laporan siasatan awal yang telah dibentangkan oleh pasukan petugas rasmi terdahulu, membabitkan pihak polis serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Siasatan ini telah kita bentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri I(DUN) yang lepas.

“Kerajaan negeri bersikap telus menyemak apa yang diputuskan dan saya rasa tidak ada perbezaan ketara daripada kedua-dua laporan yang dikemukakan.

“Cuma sebahagiannya melibatkan bahasa teknikal yang memerlukan pengetahuan mendalam mengenai pengurusan paip dan bidang kejuruteraan,” jelasnya lagi.

Ketika ditanya mengenai tempoh masa pendedahan laporan itu, Amirudin secara berseloroh mengakui mahu ia diselesaikan dengan kadar segera, namun akur dengan kekangan komitmen agensi Pusat.

“Saya minta pihak federal (Persekutuan) beri maklum balas seboleh mungkin… segera. Kalau boleh saya nak semalam.

“Tapi kita kena tunggu kerana mereka juga sedang fokus terhadap penyelesaian krisis dan sebagainya. Banyak agensi di bawah bidang kuasa mereka yang berperanan besar dalam isu ini,” katanya.

Selain faktor penglibatan agensi Pusat, Amirudin berkata, keputusan untuk mengumumkan laporan itu juga perlu meneliti aspek perundangan memandangkan terdapat kes mahkamah yang sedang berjalan melibatkan tuntutan penduduk terjejas.

“Dalam masa sama, ada kes saman yang telah dikemukakan oleh penduduk Putra Heights kepada beberapa pihak. Jadi, sama ada pengeluaran laporan ini akan mengganggu proses siasatan atau kes saman tersebut, itu perkara yang saya perlu rujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri atau Peguam Negara dahulu.

“Pendirian negeri mudah, kita memang sentiasa bersedia (untuk dedah). Tetapi ini bukan hal ehwal negeri semata-mata, ia turut melibatkan anak syarikat dan agensi Persekutuan yang berfungsi besar dalam negara kita,” katanya.

Insiden letupan kejadian saluran paip gas milik Petronas pada 1 April tahun lalu mengakibatkan kebakaran besar dan 145 individu cedera di Putra Heights.

Kejadian itu menyebabkan 1,254 orang daripada 308 keluarga terjejas dengan 87 rumah musnah serta 148 yang lain memerlukan pembaikan. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo