KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengecam tindakan menyekat akses akaun Portal MyKhas milik pejabatnya secara tiba-tiba tanpa sebarang notis rasmi sekali gus didakwa menjejaskan urusan permohonan bantuan rakyat di kawasannya.
Menurut beliau, Portal MyKhas yang dikendalikan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) merupakan platform utama untuk memuat naik, mengurus dan memproses permohonan di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) serta pelbagai peruntukan penting lain bagi rakyat di kawasannya.
Katanya, gangguan akses itu dikesan pada Rabu lalu sekitar pukul 12 tengahari ketika pegawainya cuba memuat naik beberapa permohonan dana PMR untuk sekolah-sekolah di Parlimen Subang.
“Selepas menghubungi pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan, pegawai saya dimaklumkan secara lisan oleh seorang penjawat awam bahawa akses tersebut telah disekat atas arahan pihak atasan di Putrajaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, pejabatnya segera menghantar emel kepada ICU pada 20 Mei lalu bagi memohon akses dipulihkan serta mendapatkan penjelasan rasmi berhubung perkara tersebut.
Tambah beliau, pada keesokan harinya, pegawai pejabatnya turut menyerahkan sendiri surat rasmi kepada ICU JPM Selangor dan Ibu Pejabat ICU JPM di Putrajaya.
Namun sehingga pukul 10 pagi hari ini, akses kepada Portal MyKhas masih belum dipulihkan dan tiada sebarang penjelasan rasmi secara bertulis diterima pihaknya.
“Sehubungan itu, kenyataan media ini dikeluarkan pada pukul 10.05 pagi bagi memastikan isu yang melibatkan kepentingan rakyat ini dimaklumkan secara terbuka kepada umum,” katanya.
Wong Chen turut memaklumkan semakan dengan beberapa ahli Parlimen kerajaan di Selangor termasuk wakil rakyat PKR lain mendapati akaun Portal MyKhas mereka masih boleh diakses seperti biasa.
Perkara itu, menurut beliau, menimbulkan persoalan serius sama ada pejabat Parlimen Subang menjadi satu-satunya kawasan yang disasarkan dalam tindakan tersebut.
“Sekiranya layanan terpilih benar-benar berlaku, ia amat dikesali dan bercanggah dengan prinsip Madani yang menekankan pentadbiran adil, telus dan profesional,” katanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ironis memandangkan ICU JPM Selangor sebelum ini sering mengiktiraf pejabatnya sebagai pejabat Parlimen contoh dalam aspek pengurusan fail, dokumentasi dan akaun kewangan berkaitan peruntukan kerajaan.
Menurutnya, pejabat beliau juga telah lebih sedekad mengamalkan penerbitan akaun perbelanjaan serta peruntukan komuniti secara terbuka setiap enam bulan sebagai komitmen terhadap ketelusan.
“Tindakan menafikan akses tanpa notis atau justifikasi bukan sahaja mengganggu inisiatif kebajikan penting untuk rakyat Subang, malah mencemarkan reputasi cemerlang kakitangan pentadbiran saya,” katanya.
Sehubungan itu, Wong Chen menuntut agar JPM segera memulihkan akses pejabatnya kepada Portal MyKhas serta mengemukakan penjelasan rasmi secara bertulis berhubung sekatan tersebut dengan kadar segera.
Wong Chen sebelum ini dilihat sering menghadiri majlis bersama Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment