BANGI, 20 ZULKAEDAH – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mempersoalkan tindakan pihak yang mempertikaikan keputusan kerajaan memberi peluang kepada calon lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mengikuti program di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan memberi alasan bahawa peluang itu turut terbuka kepada calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz.
“Saya rasa pelik, mengapa ada pihak yang membantah komitmen kerajaan ini. Mereka membantah orang untuk mendapat akses pendidikan.
“Walhal kita mahu menambah akses pendidikan supaya dapat mendidik anak-anak ini untuk dapat pendidikan yang lebih baik.
“Sekiranya membangkang, ini menunjukkan mereka menafikan hak anak-anak kita belajar ke peringkat lebih tinggi.
“Ini adalah komitmen kerajaan seperti mana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu,” katanya dalam majlis peluncuran Stesen Segambut Utara di Kuala Lumpur, hari ini.
UEC adalah sijil tamat persekolahan yang dikeluarkan kepada pelajar yang menamatkan pendidikan menengah di SMPC di negara ini.
Peperiksaan ini dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan mula diperkenalkan pada tahun 1975
Hujah utama penentang pengiktirafan UEC adalah bahawa ia tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996. Kurikulum UEC yang tidak menggunakan sukatan pelajaran kebangsaan dilihat sebagai bercanggah dengan matlamat untuk membina satu sistem pendidikan yang seragam dan berlandaskan identiti nasional.
UEC juga sering dimainkan oleh pelbagai parti politik, terutama semasa musim pilihan raya. Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum 2018 pernah menjanjikan pengiktirafan UEC dengan syarat tertentu.
Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).
Bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Calon daripada aliran terbabit yang turut memiliki SPM penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa calon daripada aliran berkenaan yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui KPM boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program tertentu di IPTA.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment