BANGI, 20 ZULKAEDAH – Pensyarah Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad mencadangkan 15 Mei 2026 diingati sebagai tarikh rasmi terkuburnya dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Ini susulan keputusan terbaru Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan semalam yang memaklumkan bahawa calon lepasan Sekolah Menengah Pendirian Cina (SMPC)/Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Dr Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) berkata, dokumen berkenaan merupakan dokumen rasmi pendidikan negara yang menjadi bukti kewujudan sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia.
Menurutnya, dasar pendidikan yang terkandung dalam dokumen itu sepatutnya dipertahankan oleh setiap warga Malaysia.
“Bolehkah kalau saya usulkan hari ini, 15 Mei 2026 adalah tarikh rasmi terkuburnya dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan? Saya hanya mampu bertanya dan mengusulkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan mengiktiraf UEC, walaupun menurutnya dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan secara jelas tidak mengiktiraf sijil berkenaan.
“Bolehkah hari ini kita bersetuju dengan keputusan mengiktiraf UEC (walaupun sebahagian) sedangkan dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan sendiri menyatakan secara jelas tidak mengiktiraf UEC? Mana satu yang kita patut ikut?” katanya.
Dr Anuar turut mengaitkan cadangan itu dengan sambutan Hari Guru yang akan diraikan esok, 16 Mei.
Katanya, beliau tidak melihat keperluan mempertahankan dasar pendidikan kebangsaan jika dokumen itu sendiri tidak lagi dihormati.
“Ibarat kata orang tua. Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah. Sekurang-kurangnya tarikh ‘matinya’ akan diingati oleh generasi akan datang. Setiap 15 Mei, sehari sebelum sambutan Hari Guru,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment