NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan biarkan Bahasa Melayu cair demi pengiktirafan UEC




BANGI, 4 ZULHIJJAH – Perbahasan mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan sekadar isu kelayakan akademik, sebaliknya turut menyentuh usaha mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Sandakan, Ustaz Muhammad Nur Selamit berkata, sebarang langkah pengiktirafan tanpa syarat tegas terhadap penggunaan Bahasa Melayu dikhuatiri memberi kesan kepada dasar pendidikan negara serta agenda perpaduan nasional.

Beliau menegaskan, Bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan berperanan sebagai medium penyatuan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Di sekolah, bahasa inilah yang membolehkan anak Melayu, Cina, India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak duduk dalam satu kelas, berbincang dan saling memahami antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya, jika bahasa tersebut tidak lagi menjadi bahasa pengantar utama, ia dikhuatiri boleh melemahkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.

“Apabila bahasa itu tidak lagi menjadi bahasa pengantar utama, kita sebenarnya sedang bersikap pentingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan itu timbul apabila pengiktirafan UEC dibincangkan tanpa penegasan jelas terhadap penguasaan Bahasa Melayu dan Sejarah dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, UEC yang diajar dalam bahasa Mandarin serta menggunakan kurikulum berbeza daripada sistem kebangsaan perlu diteliti dengan lebih berhati-hati agar tidak menjejaskan peranan sekolah kebangsaan sebagai platform integrasi nasional.

“Jika sijil ini diiktiraf penuh untuk sektor awam tanpa memastikan pelajar benar-benar menguasai Bahasa Melayu dan Sejarah, mesej yang sampai ialah bahasa Melayu sudah tidak penting lagi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembentukan identiti dan perpaduan negara perlu bermula sejak di bangku sekolah, selaras dengan peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Tambah beliau, sistem pendidikan negara perlu kekal konsisten meletakkan Bahasa Melayu sebagai teras utama bagi memastikan perpaduan tidak terhakis mengikut garis kaum dan bahasa.

“Jika kita benar-benar mahukan kesatuan, dasar pendidikan mestilah konsisten meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di hadapan,” katanya.


Sumber | TV Pertiwi







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo