Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata parti itu memandang serius kenyataan balas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dan Penasihat Dasar kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Pua terhadap titah dan nasihat Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan kepentingan menghormati asas Perlembagaan negara, keharmonian kaum dan sensitiviti masyarakat majmuk.
Menurutnya, titah Sultan Selangor perlu difahami dalam konteks tanggungjawab kebangsaan dan sikap sederhana supaya semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memarakkan sentimen perkauman, menghakis kerukunan sosial serta melemahkan penghormatan terhadap institusi teras negara.
“Respons tidak cermat Tony Pua terhadap titah tersebut, malangnya semakin meningkatkan keresahan awam, sekali gus mencetuskan kontroversi baharu yang tidak perlu pada saat suhu ketegangan kaum dan agama dalam masyarakat sudah sedia tinggi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Takiyuddin berkata, sebarang kenyataan membabitkan institusi Raja-raja Melayu perlu dibuat dengan penuh hati-hati, adab dan penghormatan selaras dengan peranan institusi itu sebagai tonggak kestabilan serta kedaulatan negara.
Beliau berkata, episod itu juga tidak boleh dilihat secara terpisah daripada beberapa isu lain yang menurutnya turut mencetuskan pertikaian awam.
Menurutnya, ini termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), penggunaan Bahasa Cina dalam dokumen rasmi kerajaan, penternakan babi di Selangor serta perdebatan berkaitan dasar pendidikan, bahasa kebangsaan dan isu agama.
“Dalam pada itu, sikap menolak atau mempersoalkan titah dan nasihat Diraja dengan berselindung di sebalik kedaulatan Perlembagaan atau tafsiran konsep raja berperlembagaan apabila ia tidak sesuai dengan selera dan kepentingan kita, tetapi menerima dan menjunjungnya apabila ia selari dengan kehendak sendiri hanya mendedahkan sifat hipokrit dan oportunis seseorang.
“Ini bukan membuktikan patriotisme atau sikap hormat kepada undang-undang dan kedaulatannya,” katanya.
Beliau berkata, walaupun isu terbabit secara berasingan boleh dianggap sebagai isu pentadbiran atau pendekatan, perdebatan yang berlaku dalam suasana emosi dan dipolitikkan boleh menyumbang kepada peningkatan keresahan awam serta polarisasi masyarakat.
Katanya, PAS percaya sesebuah kerajaan bukan sahaja perlu mentadbir dengan cekap dan berkesan, tetapi perlu dilihat berkemampuan mempertahan kestabilan sosial, menarik kepercayaan awam dan meletakkan kepentingan negara lebih tinggi daripada pertimbangan partisan.
“Pada saat negara berdepan tekanan ekonomi dan ketidaktentuan global, Malaysia memerlukan kepimpinan yang menyuburkan keyakinan dan kepercayaan awam, bukannya yang meledakkan kontroversi demi kontroversi tidak perlu,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment