NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dasar pemilikan hartanah Bumiputera 50% perlu penjelasan



KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa kerajaan supaya memberikan penjelasan komprehensif berhubung beberapa isu penting berkaitan cadangan penetapan syarat pemilikan Bumiputera sebanyak 50 peratus ke atas transaksi hartanah bernilai RM20 juta dan ke atas.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, antara perkara yang perlu diperjelaskan ialah sama ada syarat pemilikan 50 peratus itu merupakan dasar tetap Putrajaya atau dilaksanakan secara terpilih mengikut kes tertentu.

“(Kerajaan juga perlu memperincikan) skop penuh transaksi terlibat atau (sama ada) ia hanya terpakai kepada pelupusan aset milik GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan),” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan terdapat laporan dan perbincangan awam berkait cadangan syarat pemilikan Bumiputera itu, terutama membabitkan aset milik GLC dan GLIC.

Kementerian Ekonomi dilaporkan mendakwa, dasar itu bertujuan memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam pemilikan aset strategik, selain menyelaras pelupusan aset penting negara dengan objektif sosioekonomi lebih luas.

Kerajaan juga memberi bayangan bahawa syarat baharu itu memfokus kepada transaksi bernilai tinggi terpilih dengan pengecualian tertentu dilaporkan tersedia untuk pelaburan berkait sektor industri dan pembuatan yang diluluskan.

Walau bagaimanapun Takiyuddin menegaskan, PAS akur bahawa usaha memperkukuh penyertaan dan pemilikan Bumiputera dalam ekonomi selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta cita-cita dan matlamat pembangunan seimbang.

“Namun begitu, dasar melibatkan aset bernilai tinggi dengan kesan langsung ke atas pasaran modal, institusi kewangan dan dana awam tidak seharusnya ditangani secara tidak jelas atau terdedah kepada tafsiran yang saling bercanggah,” ujar Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Beliau menambah, kerajaan juga perlu menerangkan mekanisme pelaksanaan, pengecualian dan penilaian yang diguna pakai termasuk sama ada kajian penilaian impak menyeluruh sudah dibuat terhadap keyakinan pelabur, kecairan pasaran dan nilaian aset milik negara.

“PAS percaya usaha pengukuhan pemilikan Bumiputera hendaklah dibuat melalui dasar-dasar yang kredibel, stabil dan kompetitif, bukan dasar kabur dan terburu-buru yang berpotensi melemahkan keyakinan pasaran, selain mengurangkan nilai aset-aset strategik terbabit,” tegasnya lagi.

Beliau turut mengingatkan kerajaan bahawa banyak aset GLC dan GLIC berkait langsung dengan kepentingan rakyat melalui institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji.

“Justeru apa-apa dasar yang mengehad pasaran atau memberi kesan ke atas nilaian aset akan mempengaruhi pulangan pelaburan atau simpanan dan kepentingan rakyat sendiri.

“Negara memerlukan dasar-dasar yang bukan sahaja melindungi dan memajukan kepentingan Bumiputera, tetapi juga mengembangkan kekayaan negara, memperkukuh keyakinan pelabur, merancakkan ekonomi, selain dilaksanakan secara telus, konsisten dan profesional,” ulasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa supaya Putrajaya menjelaskan perkara seperti garis panduan, pengecualian spesifik mengikut sektor, fasa pelaksanaan, penilaian impak pasaran dan konsultasi industri dengan sebaiknya.

“(Penjelasan itu perlu dibuat) agar ia tidak terus menimbulkan kekeliruan, ketidaktentuan dan kebimbangan tidak perlu dalam kalangan pelabur, sektor perniagaan dan juga orang awam.

“Ini kerana setakat ini jurang antara matlamat serta objektif kerajaan dengan kejelasan dasar yang dilaksanakan masih luas dan sangat perlu dijambatani dengan segera,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/5/2026







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo