NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cadangan semak subsidi RON95 golongan maha kaya, T20 perlu dinilai secara menyeluruh - Tuan Ibrahim



KUANTAN - Cadangan kerajaan untuk menyemak semula pemberian subsidi petrol RON95 kepada golongan kaya perlu dilakukan secara lebih teliti dan objektif agar tidak membebankan rakyat yang sebenarnya masih terkesan dengan tekanan kos sara hidup.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Perikatan Nasional (PN) berpendirian tidak mempunyai masalah sekiranya subsidi hanya dikecualikan kepada golongan 'maha kaya' yang benar-benar tidak memerlukan bantuan kerajaan itu.

Namun katanya, istilah T20 tidak boleh disamakan secara pukul rata dengan golongan kaya kerana terdapat sebahagian daripada mereka yang hanya 'mewah di atas kertas' berdasarkan pendapatan semata-mata.

"Kerajaan perlu melihat keadaan sebenar kehidupan rakyat termasuk komitmen perbelanjaan dan pelbagai beban lain yang ditanggung walaupun mereka pendapatan tinggi.

“T20 tidak boleh dinilai berdasarkan pendapatan sahaja. Mereka juga membayar cukai kepada negara dan mempunyai hak untuk menikmati subsidi tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketila ditemui pada Majlis Penyerahan Rumah Budi Pas Kawasan Indera Mahkota di Kampung Batu Hitam di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Indera Mahkota, Datuk Andansura Rabu.

Dalam masa sama, Tuan Ibrahim berpandangan, kerajaan masih mempunyai banyak pilihan lain sebelum melaksanakan pengurangan subsidi secara menyeluruh kepada golongan itu.

Sebagai contoh, beliau mencadangkan agar kerajaan terlebih dahulu meneliti semula Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang menyediakan bantuan 'one-off' RM100 yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh sebahagian penerima khususnya dalam kalangan berpendapatan tinggi.

Katanya, langkah mengurangkan bantuan itu kepada golongan kurang mengunakan lebih wajar dilakukan berbanding menghapuskan subsidi petrol secara total kepada kelompok T20.

"Saya terima rungutan daripada segelintir individu yang sebelum ini berada dalam kategori T20 namun kini berdepan tekanan ekonomi akibat keadaan perniagaan yang tidak menentu serta peningkatan kos operasi.

"Golongan kontraktor antara yang paling terkesan ketika ini susulan kenaikan kos bahan dan harga diesel sehingga menyebabkan banyak projek mengalami masalah dan menjadi projek sakit.

“Hari ini mungkin mereka masih mampu bertahan menjalankan perniagaan, tetapi bulan depan belum tentu lagi kerana keseluruhan rantaian ekonomi saling berkait,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sebarang pelaksanaan semakan subsidi RON95 perlu memberi fokus kepada golongan benar-benar mewah dan bukannya dilaksanakan secara borong' sehingga menjejaskan kumpulan yang masih memerlukan bantuan kerajaan.

Kerajaan sebelum ini meneliti cadangan untuk menyemak semula pemberian subsidi petrol RON95 yang turut dinikmati golongan kaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan mengenai perkara itu diteliti Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN)

Cadangan berkenaan telah dibincangkan beberapa kementerian dan jawatankuasa berkaitan namun kerajaan belum memuktamadkan sama ada ia akan melibatkan kumpulan T20, T15 atau kategori lain.


Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo