Menurut Ahli Parlimen Bachok itu, setiap tuntutan melibatkan hasil, kewangan, undang-undang dan bidang kuasa tidak wajar dilihat sebagai ancaman kepada sistem pemerintahan negara, sebaliknya merupakan usaha meningkatkan keupayaan negeri dalam merancang pembangunan.
Beliau menegaskan bahawa dalam sistem federalisme di Malaysia, pembahagian kuasa pentadbiran dan perundangan telah diatur dengan jelas, namun amalannya kini berdepan cabaran ketidakseimbangan kuasa serta pelaksanaan.
“Namun perlu difahami bahawa setiap permintaan dan tuntutan ini tidak wajar dilihat sebagai ancaman kepada sistem federalisme di negara kita. Malah, setiap isu yang melibatkan hasil, kewangan, undang-undang dan bidang kuasa yang timbul wajar ditangani secara matang dan berhemah.
“Perkara ini amat fundamental, khususnya bagi meningkatkan keupayaan negeri dalam mengurus sumber dan merancang pembangunan, seterusnya merapatkan jurang ekonomi antara wilayah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Syahir memperincikan isu mutakhir dibangkitkan negeri serta Institusi Diraja yang menuntut perhatian serius Persekutuan iaitu Terengganu dan Kelantan melibatkan pembayaran lima peratus royalti petroleum secara terus berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Manakala Sabah pula ujarnya, menuntut pemulangan 40 peratus hasil cukai berdasarkan Perkara 112C & 112D Perlembagaan Persekutuan, selain negeri itu dan Sarawak juga mahu supaya pelaksanaan penuh hak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sementara Johor katanya, mendesak emulangan 25 peratus hasil cukai seperti yang dizahirkan Pemangku Sultan Johor dan Selangor menerusi Sultan Selangor bertegas terhadap cadangan projek penternakan babi oleh Kerajaan Persekutuan.
Paling terkini katanya, Pahang melalui penegasan Tengku Mahkota Pahang supaya negeri itu diberikan layanan saksama melibatkan peruntukan, hasil bumi, dan bidang kuasa.
Ketegangan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri semakin meruncing susulan dilihat berlakunya pemusatan kuasa di Putrajaya yang menjejaskan hasil serta autonomi negeri.
Isu ini merangkumi pelbagai aspek, daripada pertikaian bayaran royalti minyak di Pantai Timur, tuntutan hak kewangan di bawah MA63 bagi negeri Borneo, hingga ke penegasan institusi diraja.
Khususnya Johor, Selangor dan Pahang telah menyuarakan tuntutan mengenai hak kedaulatan serta kebajikan rakyat, sekali gus wujud keperluan untuk menyemak semula hubungan fiskal dan perundangan bagi memastikan agihan kekayaan negara dilakukan secara lebih adil.
Syahir menekankan bahawa sebarang keputusan berkaitan tuntutan tersebut mestilah dicapai melalui rundingan dan perbincangan secara sepakat bagi memastikan kepentingan rakyat dan negara terus terpelihara.
Beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sejauh mana layanan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap segala tuntutan dibangkitkan setakat ini.
“Dalam hal ini, setiap tindakan dan keputusan yang berkaitan, mestilah dirunding dan dibincangkan secara sepakat, berasaskan semangat federalisme, demi kepentingan rakyat dan negara. Muafakat membawa berkat,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 11/5/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment