SHAH ALAM - Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mencadangkan agar semangat muzakarah bagi mencari kebenaran dihidupkan semula sebagai jalan penyelesaian kepada kemelut perpaduan antara parti itu dengan UMNO.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, perpaduan yang ingin dibina mestilah berasaskan model yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bermula dengan penyatuan bangsa Arab melalui Islam dan kemanusiaan, diikuti pembentukan masyarakat majmuk yang adil.
Beliau berkata, usaha itu selaras dengan tuntutan al-Quran dalam Surah Ali 'Imran yang mewajibkan umat Islam berpegang teguh kepada 'tali ALLAH' dan melarang perpecahan.
Bagi merapatkan jurang perbezaan pendapat, Abdul Hadi mencadangkan agar pihak ketiga yang terdiri daripada mufti atau ilmuwan Islam dilantik sebagai perantara untuk mengkaji ketetapan ALLAH secara ikhlas dan amanah.
"Janganlah menjadi seperti golongan Ahli Kitab yang mendabik dada. Sebaliknya, kembalilah kepada ketetapan ALLAH dan Rasul sekiranya benar-benar beriman.
"Cadangan muzakarah ini pernah dibawa oleh ilmuwan pada tahun 1984 yang diketuai oleh Tan Sri Prof Dr Muhammad Abdul Rauf dan Tan Sri Datuk ProfAhmad Ibrahim, namun pihak UMNO tidak memberikan jawapan ketika itu," katanya dalam kenyataan Minda Presiden Pas pada Isnin.
Mengulas serangan Presiden UMNO mengenai dakwaan 'DNA khianat' dalam Pas, Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.
Beliau sebaliknya menjelaskan, dari sudut sejarah, UMNO yang pernah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pemimpin Pas selepas kedua-dua parti itu bekerjasama menentang komunis.
Beliau turut membezakan antara istilah biologi DNA sebagai pembawa maklumat genetik dengan istilah undang-undang 'discharge not amounting to an acquittal' (DNAA) yang kini membelenggu sebahagian kepimpinan UMNO.
"Pas tetap berpegang kepada prinsip bahawa seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan secara adil. Maka, isu pendakwaan ini sebenarnya tidak menjadi halangan kepada perpaduan Melayu-Islam jika ada keikhlasan," jelasnya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan pendirian konsisten Pas menolak kerjasama dengan DAP dan gagasan Pakatan Harapan (PH) kerana dianggap tidak istiqamah dalam mendaulatkan Islam.
Beliau mendakwa UMNO kini berada dalam keadaan 'leka' selepas lama berkuasa dan seolah-olah terperangkap dalam kerjasama 'UMDAP' demi menyelamatkan kedudukan masing-masing.
"UMNO jangan jadi penakut dalam kerajaan yang melaksanakan undang-undang 3R (kaum, agama, raja) yang nyata meminggirkan Islam dan menyekat pintu nasihat. Keadaan ini laksana tikus kenyang dalam kepuk padi," katanya.
Abdul Hadi turut mengimbau amaran Khalifah Umar bin al-Khattab RA bahawa umat Islam akan menjadi hina jika mencari kemuliaan selain daripada agama yang telah memperkasakan mereka.
Beliau menyeru semua pemimpin Melayu-Islam untuk kembali ke pangkal jalan dengan meneladani sifat pengampunan Rasulullah SAW semasa pembukaan Kota Makkah terhadap musuh yang pernah menzaliminya.
"Marilah kembali kepada keutamaan perpaduan umat. Sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang bertaqwa dan berbuat kebaikan," tambahnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment