NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Analisis 66 kerusi PKR diragui, penganalisis sifatkan pembahagian tier tidak berasas



KUALA LUMPUR — Analisis dalaman PKR menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang berjudul ‘Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier’  didakwa tidak kukuh dan meragukan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran & Politik Universiti Malaya, Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata, dapatan kajian itu sukar diterima dari sudut akademik kerana tidak disertakan asas penyelidikan yang jelas.

Jelas beliau, pembahagian kategori kerusi yang dibentangkan dalam dokumen tersebut dilihat longgar selain tidak disokong metodologi, sumber data dan penglibatan penyelidik berkelayakan.

“Pelbagai faktor lain (pemboleh ubah) tidak dinyatakan secara jelas dalam dapatan sekali gus saya curiga dengan kejelasan hasil kajian yang diketengahkan ini.

“Saya sebagai ahli akademik dan tidak membuat ulasan berat sebelah, saya nampak jelas (dokumen kajian) ini adalah ‘cacat’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan mengenai pembentangan dokumen bertajuk ‘Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier’ yang dikongsikan kepada kira-kira 900 pimpinan PKR dalam satu pertemuan di Petaling Jaya.

Dokumen tersebut antara lain menggambarkan PKR kini berada dalam keadaan berhati-hati susulan petunjuk bahawa penguasaan di beberapa kerusi utama semakin terhakis.

Beberapa kerusi Parlimen penting termasuk Sungai Petani, Tanjung Malim dan Tambun diletakkan dalam kategori marginal (Tier 2B), manakala Gombak serta Sungai Buloh diklasifikasikan dalam Tier 3 yang dianggap zon kritikal.

Mengulas lanjut, Mohamad Tawfik berkata, skop kajian yang hanya memfokuskan 66 kerusi Parlimen juga tidak cukup untuk memberikan gambaran menyeluruh landskap politik semasa.

Katanya, kekaburan dari segi kaedah kajian, saiz sampel dan tempoh pelaksanaan menimbulkan persoalan terhadap ketepatan dapatan yang dibentangkan.

“Jika dalam perbincangan akademik, hasil pengumuman sedemikian dikatakan gagal kerana banyak perkara tidak jelas sumber dan hanya berdasarkan ‘gambaran’ grafik dan pembahagian ‘tier’ kerusi yang diragui.

“Di samping itu politik hari ini cenderung kepada penilaian persepsi, kajian tidak boleh dilakukan hanya sekali dalam tempoh panjang memandangkan persepsi boleh berubah dan penilaian persepsi adalah diukur menerusi kekerapan ke lapangan dan respon pengundi,” katanya.

Untuk rekod, analisis yang menilai 66 kerusi Parlimen itu menunjukkan hanya tujuh kerusi dikategorikan selamat, manakala majoriti iaitu 46 kerusi berada dalam kategori berisiko tinggi (Tier 2B dan Tier 3), termasuk kerusi penting seperti Tambun yang kini dianggap marginal.

Ia juga menunjukkan PKR perlu memberi tumpuan kepada strategi lapangan dan isu setempat kerana pengaruh kepimpinan semata-mata tidak lagi menjamin kemenangan, sekali gus memberi gambaran cabaran sengit yang bakal dihadapi parti itu pada PRU16. – MalaysiaGazette












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo