KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya kerajaan memulakan perbincangan serius mengenai pengharaman arak secara total atau sekurang-kurangnya mengetatkan kawalan penjualan secara drastik.
Peguam jenayah, Nik Saiful Adli Burhan berkata, tiada manfaat signifikan minuman keras melainkan ia membawa bencana sosial, bukan sahaja dalam perspektif Islam, malah diakui oleh pelbagai agama dan budaya sebagai punca keruntuhan moral dan keselamatan.
Menurutnya, kerajaan boleh mengambil iktibar daripada kejayaan mendidik masyarakat menjauhi rokok melalui pengehadan zon merokok yang ketat, sekatan drastik terhadap kaedah jualan dan promosi dan normalisasi gaya hidup tanpa rokok.
“Jika model kawalan ketat ini diimplementasikan terhadap minuman keras, baik dari segi keterbukaan jualan mahupun lokasi pengambilan, kita secara langsung akan menghapuskan kewujudan individu mabuk di ruang awam.
“Apabila tiada pemabuk, maka risiko pemanduan di bawah pengaruh alkohol akan terhapus dengan sendirinya,” katanya yang juga Pengerusi, Pertubuhan Bertindak Peguam & Intelek Kelantan dalam satu kenyataan.
Tambah Nik Saiful Adli, hukuman berat semata-mata terhadap pemabuk yang menyebabkan nahas adalah tuntutan emosi yang tidak akan mengakhiri tragedi.
“Kita tidak memerlukan pemabuk, sama ada di atas jalan raya mahupun di luar jalan raya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau, menggesa kerajaan agar lebih berani mengekang terus penjualan dan pengedaran arak demi keselamatan dan kesejahteraan keluarga Malaysia.
“Fokus kita haruslah kepada keselamatan nyawa rakyat, melebihi kepentingan ekonomi atau kebebasan peribadi yang membawa mudarat umum,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pembantu makmal yang sebelum ini ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, hari ini atas tuduhan membunuh seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, di sini Ahad lalu.
Tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz Omar, 33 di Jalan Raya Barat di sini, kira-kira jam 11.47 pagi pada 29 Mac, Ahad lalu. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment