BUKIT KAYU HITAM – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Pelindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Suhaily Mohd Zain memberi amaran keras kepada pihak yang disifatkannya sebagai pengkhianat yang membenarkan kemasukan warga asing secara tidak sah ke negara ini.
Beliau berkata pihaknya belum dapat mengenal pasti individu yang terlibat dalam isu berkenaan, namun amaran keras telah dikeluarkan kepada semua pegawai supaya tidak melakukan perbuatan khianat itu.
“Jangan sampai saya tahu perkara itu berlaku hasil daripada perbuatan khianat, sama seperti yang saya pernah tegur sebelum ini…kalau berlaku juga, nampaknya saya kena turun ke sini lebih kerap bagi mengenal pasti siapa pengkhianat itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan masyarakat mengenai kemasukan warga asing ke negara melalui sempadan Bukit Kayu Hitam.
Terdahulu, beliau hadir ke majlis serah terima tugas Komander AKPS Bukit Kayu Hitam antara SAC Mohd Nasaruddin M Nasir dan SAC Fauzi Mohd Yusuf.
Mohd Nasaruddin dari Kota Bharu, Kelantan yang berkhidmat sebagai Komander AKPS Bukit Kayu Hitam bermula 10 Jan 2025 hingga 31 Mac 2026 akan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Operasi Ibu Pejabat AKPS, manakala Fauzi dari Taiping, Perak yang sebelum ini bertugas di Bahagian D3 Bukit Aman mula melapor diri di AKPS Bukit Kayu Hitam, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Suhaily menegaskan pihaknya akan memperketatkan kawalan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi terutamanya ekoran konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.
“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam isu ini dan bersama-sama melaksanakan penguatkuasaan,” katanya. — BERNAMA
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment