BANGI, 13 SYAWAL – Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera, termasuk mempertimbangkan larangan penjualan alkohol, susulan satu lagi kematian tragis akibat dirempuh pemandu mabuk.
Insiden itu bukan sahaja meragut nyawa, tetapi turut menelan kos ekonomi yang besar kepada negara.
Timbalan Presiden I-Medik, Datuk Dr. Mohamed Hatta Mohamed Tarmizi berkata, setiap kemalangan akibat pemandu mabuk membebankan negara dari segi kos penjagaan kesihatan, kehilangan produktiviti, dan penggunaan sumber penguatkuasaan undang-undang.
“Setiap nyawa yang hilang akibat alkohol adalah kerugian kepada keluarga, masyarakat, dan negara.
“Rawatan di hospital, masa di jabatan kecemasan, dan proses mahkamah yang panjang adalah kos yang tidak perlu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dr Mohamed Hatta turut menegaskan negara-negara yang melaksanakan dasar kawalan alkohol yang lebih ketat menunjukkan sekatan alkohol mampu mengurangkan kemudaratan, kematian, dan kerugian ekonomi, disokong oleh data kesihatan awam.
Justeru, langkah sedia ada di Malaysia seperti kempen kesedaran dan penguatkuasaan berkala untuk menangani isu ini tidak mencukupi.
“Kerajaan dan Parlimen perlu memulakan perbincangan serius mengenai sekatan berperingkat yang akhirnya membawa kepada larangan penuh penjualan alkohol. Ini demi keselamatan dan kepentingan ekonomi rakyat Malaysia,” tegas Datuk Dr. Mohamed Hatta
Beliau turut menekankan bukti saintifik bahawa tiada paras selamat untuk pengambilan alkohol.
Jelasnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kajian dalam The Lancet mengesahkan alkohol adalah karsinogen Kelas 1, dikaitkan dengan kemalangan jalan raya, keganasan, penyakit hati, kanser, dan masalah kardiovaskular.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment