JOHOR BAHRU – Semua blok pembangkang di Johor perlu bersatu dan hanya meletakkan satu calon mewakili mereka bertanding menentang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nornekman Osman berkata, formula tersebut adalah yang terbaik untuk menang dan pihaknya terbuka dengan semua parti pembangkang di negeri ini untuk mengadakan perbincangan.
“Matlamat kita adalah satu lawan satu, pembangkang dengan BN atau PH jika mereka bergabung atau pembangkang dengan blok BN dan PH jika mereka tidak bergabung. Ini strategi kita di blok pembangkang.
“Kita namakan satu calon sahaja dan semua parti pembangkang nanti akan mempunyai langkah sederap. Kita harus sebulat suara dan lihat kemenangan itu satu matlamat utama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Iftar Bersama Pejuang Negeri Johor di Warung Larkin Jaya, Larkin di sini malam tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan; Setiausaha Pejuang Johor, Dr Zaini Abu Bakar; Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman dan Pengerusi Biro Agama dan Pembangunan Modal Insan Majlis Pimpinan Pejuang Johor, Azrif Abd Rashid.
Katanya, rakyat akan yakin dan mahu lihat pihak pembangkang dalam satu pasukan yang teguh dan bersatu padu berdepan PRN Johor tidak seperti sebelum ini.
Beliau berkata, parti-parti pembangkang perlu ketepikan kepentingan masing-masing sebaliknya fokus dan mengutamakan kemenangan wakil daripada blok pembangkang nanti.
Jelasnya, ini juga bagi mengelak berlakunya pertandingan lebih tiga penjuru yang hanya akan merugikan sekali gus menjejaskan peluang pembangkang untuk menang.
Menurutnya, Pejuang Johor tidak menolak akan bekerjasama dengan blok Perikatan Nasional (PN) dalam PRN nanti dan perbincangan di peringkat negeri sudah beberapa kali diadakan baru-baru ini.
“Hubungan kita dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di Johor amat baik. Kita ada persamaan dan akan adakan perjanjian dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan parti lain.
“Tak berbaloi kalau semua nak bertanding tapi tak beri kemenangan pada blok kita, ini satu percaturan yang rugi, jadi kita perlu bijak letak calon dan (semua parti pembangkang) berikan sokongan,” ujarnya.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment