SHAH ALAM - Struktur rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan terutama melibatkan akses ke hospital tidak boleh dikompromi kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa orang ramai.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kebebasan beragama dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan namun, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan undang-undang dan peraturan perancangan yang telah ditetapkan.
"Setiap pembinaan rumah ibadat perlu mematuhi kerangka undang-undang yang sedia ada.
"Dalam kes yang melibatkan kawasan sensitif seperti hospital, pendekatan yang lebih bertanggungjawab perlu diambil melalui dialog yang matang serta pertimbangan sewajarnya.
"Perkara itu termasuk kemungkinan pemindahan ke lokasi yang lebih sesuai dengan penuh penghormatan kepada penganut agama berkenaan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Ahmad Fadhli berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan didapati gagal memainkan peranan di dalam mengambil langkah penyelesaian yang tegas, adil dan seimbang bagi memastikan kepentingan awam sentiasa terpelihara.
Katanya lagi, ditambah gelagat wakil rakyat yang dilihat menggalakkan pelanggaran undang-undang dan bukannya mencari penyelesaian berasaskan peraturan sedia ada.
"Perkembangan yang berlaku di sebuah kuil berhampiran Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang menimbulkan kebimbangan serius dan menjadi isu nasional apabila berlaku insiden yang melanggar undang-undang.
"Perhimpunan yang berlaku dilaporkan telah menyebabkan kesesakan dan gangguan pada laluan utama menuju ke hospital termasuk laluan yang digunakan oleh pesakit kecemasan, pelawat serta kakitangan perubatan," ujarnya.
Beliau berkata, semakan menyeluruh wajib dilakukan terhadap semua binaan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang berjalan secara konsisten tanpa pilih kasih.
"Dalam situasi melibatkan kawasan kritikal seperti hospital, sebarang aktiviti yang menjejaskan kelancaran akses bukan sahaja tidak wajar malah berpotensi menjejaskan keselamatan dan nyawa pesakit yang memerlukan rawatan segera.
"Kepentingan awam dalam hal ini mesti diletakkan sebagai keutamaan tertinggi," katanya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment