NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gagal keluarkan Rafizi, PKR buat “pusingan-U”



SUBANG JAYA – Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa, Parti Keadilan Rakyat (PKR) melakukan “pusingan-U” apabila parti itu memutuskan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya walaupun sebelum ini mengeluarkan surat tunjuk sebab yang menurutnya bertujuan memecat beliau daripada parti.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, kandungan surat tunjuk sebab pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh jelas memberi gambaran tindakan disiplin tersebut bertujuan menyingkirkannya daripada parti.

“Yang berlaku sebenarnya PKR ‘U-turn’ kerana surat tunjuk sebab yang pertama itu tujuannya ialah untuk memecat saya,” katanya kepada media selepas melancarkan program Pinjam Gajet anjuran Ayuh Malaysia di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, kenyataannya sebelum ini mengenai hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang tanpa menggunakan tiket PKR telah ditafsirkan oleh setiausaha agung parti sebagai pengisytiharan keluar parti.

“Tindakan saya menyatakan hasrat untuk bertanding tetapi, bukan atas tiket PKR pada pilihan raya umum akan datang itu diertikan oleh Setiausaha Agung PKR sebagai tindakan mengisytiharkan keluar parti. Jadi memang jelas ke mana tujuannya iaitu untuk memecat saya,” ujarnya.

Sebelum ini, Rafizi turut mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba menekannya supaya keluar sendiri daripada parti, sekali gus menyebabkan beliau hilang kerusi Parlimen, berbanding dipecat secara rasmi yang membolehkannya kekal sebagai wakil rakyat.

Kontroversi itu timbul selepas bekas Menteri Ekonomi berkenaan menerima surat tunjuk sebab daripada PKR yang menuduh beliau seolah-olah mengisytiharkan keluar parti apabila mengumumkan rancangan untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang bukan di bawah tiket PKR.

Fuziah kemudian dilaporkan berkata, surat tunjuk sebab tersebut dikeluarkan kerana tindakan Rafizi dilihat seakan-akan menunjukkan beliau telah hilang kepercayaan terhadap parti.

Bagaimanapun, Rafizi dalam jawapannya terhadap surat itu menegaskan, kenyataan yang dibuatnya sebelum ini cukup jelas dan tidak memerlukan tafsiran yang rumit.

Beliau menjelaskan kenyataan tersebut dibuat ketika wawancara bersama Sin Chew Daily dan mempunyai maksud yang boleh difahami oleh sesiapa yang mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang baik.

PKR kemudiannya memutuskan untuk mengekalkan keahlian Rafizi sebagai anggota parti, namun mengingatkannya supaya mematuhi perlembagaan, kod tata etika serta disiplin parti sebagai tanda kesetiaannya kepada parti.

Sementara itu Rafizi berkata, beliau tidak meletakkan sebarang jangkaan terhadap tindakan yang bakal diambil oleh parti selepas beliau mengemukakan jawapan kepada surat tunjuk sebab berkenaan.

“Saya dalam biro politik sudah lama. Ia bergantung kepada ‘mood’ masing-masing kerana perkara itu akan dibincangkan dan ada pandangan yang berbeza. Bagi anggota biasa macam saya memang susah nak menjangkakan apa keputusan,” katanya.

Tambah beliau, walau apa pun keputusan yang diambil oleh parti, beliau sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya tidak tahu apa perbincangan mereka, apa niat dan objektifnya, jadi saya tidak mahu membuat spekulasi. Dalam keadaan saya, apa-apa pun tindakan yang diambil, saya mestilah sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan,” jelasnya. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo