KULAI – Pembahagian kerusi membabitkan kompenan Pakatan Harapan (PH) Johor untuk pilihan raya negeri (PRN) diharap dapat dimuktamadkan dalam kadar segera.
Timbalan Pengerusi PH Johor, Teo Nie Ching berkata, Jawatankuasa Agihan Kerusi yang ditubuhkan kelmarin juga diberi peranan penting bagi memastikan pembahagian kerusi antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) berjalan lancar.
“Wakil bagi setiap parti berada dalam jawatankuasa tersebut bagi membincangkan soal pembahagian kerusi membabitkan ketiga-tiga parti secara mendalam.
“Kami akan menghormati prosedur yang ditetapkan itu dan akan berunding secara berhemah antara satu sama lain.
“Saya harap pembahagian kerusi ini dapat dimuktamadkan secepat mungkin supaya ia dapat memberi ruang kepada setiap parti untuk membuat persediaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Internet Selamat di Bazar Ramadan Temenggong, di sini petang semalam.
Sebelum ini, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan mengumumkan parti itu sudah mengenal pasti 20 kerusi yang mahu ditandingi.
Khamis lalu pula, Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyatakan pihaknya mengenal pasti 28 kerusi yang berpotensi ditandingi pada PRN Johor yang bermungkinan diadakan pada tahun ini.
Nie Ching yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, DAP juga sudah mengenal pasti kerusi-kerusi yang mahu ditandingi termasuk kerusi yang ditandingi pada PRN Johor yang lalu.
Ahli Parlimen Kulai itu akui ada berlaku perebutan kerusi dalam perbincangan yang dilakukan antara parti dalam gabungan PH namun itu bukanlah satu yang membimbangkan.
“Mestilah ada perebutan kerusi, mana boleh tak ada… Itu tak mengapa, kita akan lalui prosedur yang digariskan bagi mencari titik persefahaman,” ujarnya.
Sebelum ini, Aminolhuda menyatakan pembahagian kerusi hanya membabitkan tiga parti tersebut dan tidak melibatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment